- Majalah Science News menyatakan bahawa kesan buruk plumbum telah lama diketahui. Sekurang-kurangnya selama 2000 tahun masyarakat dunia mengenali plumbum sebagai racun yang kuat walaupun masih bingung tentang cara racun itu bekerja.
- Menurut Jerome Nriagu dari Institut Penelitian Air Nasional Kanada , orang Rom biasa menambahkan sirap arak anggur -(sapa) yang dididihkan di dalam bekas plumbum.
- Menurut Nriagu dalam majalah Newsweek, satu senduk teh sirap (sapa) adalah lebih daripada cukup untuk menyebabkan keracunan plumbum yang kronik.
- Pada masa yang sama, pemimpin bangsa Rom ialah peminum arak anggur yang kuat. Berdasarkan pengiraan Nriagu juga menyatakan bahawa kaum elit Rom minum sebanyak satu hingga lima liter arak anggur pada setiap hari!
- Orang Rom menggunakan pemanis tiruan, iaitu gula daripada plumbum untuk memaniskan dan memelihara makanan tanpa mengambil kalori tambahan. Sirap yang dikenali sebagai sapa ini ialah gula plumbum daripada pemeraman jus anggur. Gula plumbum mungkin pemanis buatan manusia yang pertama dan kini dikenali sebagai Plumbum (II) Asetat kimia. Bahan ini merupakan pepejal kristal beracun yang menyerupai garam.
- Berdasarkan The Medical Post dari Kanada, penyelidik yakin bahawa satu daripada punca bangsa Rom mengalami kemerosotan disebabkan oleh kegemaran mereka untuk memaniskan arak anggur dengan plumbum.
- Malah ada laporan yang menyatakan bahawa keracunan akibat penggunaan logam berlaku secara meluas dalam perabot, senjata, kosmetik, bekas arak anggur dan paip air. Hal ini mungkin menjadi penyebab peningkatan sakit mental dalam kalangan Kaisar Rom serta peningkatan kadar kemandulan dan keguguran yang menyebabkan golongan berkuasa tidak mempunyai pengganti.
- Persoalan tentang keseriusan pencemaran plumbum dalam masyarakat Rom amat mustahak untuk didebatkan. Menurut Nriagu dan rakannya, pengiraan yang mereka lakukan berdasarkan maklumat tentang gaya hidup Roman, perlombongan timah dan besi paip terutamanya dalam paip plumbum, proses memasak dan industri wain. Kajian ini menunjukkan bahawa golongan bangsawan membangunkan keracunan sistematik yang teruk.
- Gilfillan, seorang penyelidik, menyokong hipotesis bahawa keracunan plumbum menyebabkan penurunan kadar kesuburan dan meningkatkan kadar keguguran dalam kalangan wanita Rom. Malah diakui bahawa cara ini ialah satu daripada sebab penurunan jumlah bangsawan Rom dari tahun Sebelum Masihi (SM) hingga abad kedua. Sebagai contoh, nama keluarga bangsawan Julius dan Comelius hilang secara sistematik.
Julius Caesar
- Konklusinya, setiap warga dunia perlu belajar daripada kesilapan bangsa Rom ini. Kita perlu memikirkan tentang langkah bagi mengurangkan pendedahan dan kesan plumbum terhadap diri sendiri khususnya dan masyarakat secara amnya.
- Jika sudah terkena racunnya, maka terapi pengkelatan iaitu terapi menggunakan vitamin C terbukti dapat mengurangkan peningkatan plumbum di dalam darah sebanyak 81 peratus. Darah siapa? Darah PEROKOK! Hal ini disebabkan vitamin C menghalang penyerapan plumbum daripada saluran pencernaan ke dalam darah. Plumbum yang masuk ke dalam salur pencernaan pula akan keluar sebagai najis. Namun, bukankah mencegah itu lebih baik daripada mengubati? Jika anda seorang perokok atau menyimpan impian ingin menjadi seorang perokok, fikir-fikirkanlah apa yang sudah terjadi kepada tamadun Rom satu ketika dahulu yang musnah akibat satu bahan yang turut terdapat dalam sebatang rokok, iaitu PLUMBUM!
*Muhammad Nuruddin Bashah. Dewan Kosmik (Jun 2014)
No comments:
Post a Comment