Sebelum matahari terbit tinggi pada pagi itu, penduduk kota Mekah sudah berkumpul di hadapan sebuah bangunan suci berbentuk segi empat yang diperbuat daripada batu. Itulah Kaabah yang mulia. Mereka sedang menunggu kedatangan seorang lelaki yang disanjungi iaitu Khalid bin Walid. Masing-masing seolah-olah tidak sabar menanti kehadirannya.
"Adakah saudara tahu mengapa Khalid mengajak orang ramai berkumpul di sini pada pagi ini?" Tanya seorang lelaki kepada Abu Sufian.
Lelaki itu adalah yang paling kuat menentang Nabi Muhammad SAW.
"Saya juga sama seperti saudara. Saya tidak tahu apa tujuan Khalid menyuruh kita berkumpul di sini pagi ini. Khabarnya ada hal penting yang mahu disampaikan." Jawab Abu Sufian.
Abu Sufian bin Harits bin Abdul Mutalib adalah sepupu kepada Nabi Muhammad SAW. Beliau yang juga suami kepada Hindun memusuhi Nabi Muhammad SAW. Abu Sufian mempunyai dua orang anak lelaki bernama Muawiyah yang merupakan pengasas Bani Umaiyah dan Abu Qahafah iaitu ayah kepada Abu Bakar as-Siddiq. Anak perempuan Abu Sufian, Habibah merupakan isteri kepada Nabi Muhammad SAW selepas kematian Siti Khadijah.
"Khalid adalah pahlawan yang agung. Namanya semakin masyhur selepas berjaya mengalahkan tentera Muhammad dalam peperangan di Bukit Uhud. Mungkin hari ini dia mahu mengajak kita menyerang kota Madinah pula." Ujar Abu Sufian lagi.
"Sekiranya benar apa yang saudara katakan itu, saya orang pertama yang menyokongnya. Saya sanggup menyerahkan semua kuda dan unta milik saya untuk tentera kita bagi memerangi Muhammad sekali lagi." Lelaki itu memberikan sokongan padu.
"Saya juga menyokong saudara. Dua tahun lalu kita tewas dalam peperangan di Badar. Mujur Khalid berjaya menebus kekalahan kita itu dalam peperangan di Uhud tahun lalu. Kita terhutang budi kepadanya dan mesti menyokong apa sahaja tindakannya kepada Muhammad. Dia adalah ketua suku Bani Umaiyah." Balas Abu Sufian.
"Kita beruntung kerana Khalid menyebelahi kita. Dia bukan sahaja gagah dan berani malah bijak mengatur perancangan di medan perang. Khalid memang layak dilantik menjadi pemimpin tentera." Puji lelaki itu. Dendamnya kepada Nabi Muhammad SAW semakin membara.
Perbualan mereka terhenti apabila Khalid bin Walid datang.
*Abdul Latip Talib. (2007). Khalid Memburu Syahid. Selangor: PTS Litera Utama Sdn. Bhd.
No comments:
Post a Comment