Saturday, 20 December 2014

KHALID AL WALID (Bahagian 4)

"Tentera Islam berjaya mengucar-ngacirkan tentera Quraisy pada awal pertempuran. Kami lari bertempiaran dan banyak yang terkorban, tetapi saya berjaya mengumpulkan semula pasukan dan  merancang mahu membuat serangan balas."
Terang Khalid.
"Bagaimana tuan dapat lakukan semua itu?"
Yazid hairan mendengar kata-kata Khalid. Setahunya apabila tentera Islam sudah berjaya mengucar-ngacirkan pihak musuh, kemenangan sudah tentu menjadi milik mereka.

"Kesempatan itu datang apabila pasukan pemanah di Bukit Uhud meninggalkan kedudukan mereka kerana tamakkan harta rampasan perang yang ditinggalkan oleh tentera Quraisy. Semasa itulah saya memimpin tentera lalu menyerbu melalui laluan genting. Tentera Quraisy kembali bersatu menyusun kekuatan dan menyerang tentera Islam apabila berjaya menguasai laluan genting itu."
Ujar Khalid dengan panjang lebar. Dia berbesar hati memberitahu mengenai perang Uhud kerana itulah yang menjadi kebanggaannya ketika itu. Tidak ada yang bererti baginya melainkan kemenangan yang dinikmati oleh tentera Quraisy. Kemenangan itu juga yang meningkatkan kemasyhuran namanya sebagai pahlawan perang.
"Tuan adalah panglima yang bijak. Saya juga mahu jadi seperti tuan."
Puji Yazid selepas mendengar cerita Khalid bin Walid.
"Saudara juga anak muda yang hebat kerana berjaya memperdayakan Abu Lahab dan berani mengiringi perjalanan saya ke Madinah."
Khalid bin Walid membalas pujian anak muda itu.
"Terima kasih."
Yazid tersenyum. Hatinya berbunga mendengar pujian Khalid. Dia berasa bangga kerana pahlawan yang dikaguminya itu memuji dirinya.

"Saya mengagumi tuan kerana sudah banyak mendengar cerita mengenai tuan. Sekiranya tidak keberatan, saya ingin tahu riwayat hidup tuan."
Ujar Yazid. Khalid bin Walid tidak keberatan menceritakannya.
"Semasa kecil, saya dihantar kepada puak Badwi yang tinggal di gurun."
"Mengapa pula begitu?"
Yazid tidak memahami mengapa keluarga Khalid memperlakukannya begitu.
"Itu adalah tradisi kaum Quraisy. Anak yang baru lahir perlu diserahkan kepada keluarga angkat bagi dipelihara dan dididik hingga remaja."
Khalid menghuraikan kekeliruan yang terdapat dalam fikiran Yazid. Yazid hanya mengangguk. Dia membiarkan Khalid meneruskan ceritanya.
"Keluarga angkat saya itu tinggal di gurun yang panas dan kering. Suasana gurun begitu serasi dengan saya sehingga membuatkan saya mencintai dan merasakan gurun itu adalah kehidupan saya."
Beritahu Khalid lagi.
"Jadi, tuan sudah biasa hidup di gurun?"
Tanya Yazid.

"Benar."
Khalid mengiakan kata-kata Yazid.
"Saya dikembalikan kepada kedua ibu bapa di Mekah selepas mencapai umur enam tahun. Ketika itu saya sudah diajar menunggang kuda sehingga mahir. Saya juga sudah diajar menggunakan semua jenis senjata."

Cerita Khalid.
"Tidak hairanlah sekiranya hari ini tuan menjadi pahlawan yang hebat."
Sekali lagi Yazid memuji Khalid.
"Saya tidak sehebat mana sekiranya dibandingkan dengan Muhammad."
Khalid bin Walid merendah diri.
"Tuan meninggalkan kekayaan yang diwarisi daripada ayah tuan. Tuan juga meninggalkan pangkat dan penghormatan yang diberikan oleh kaum Quraisy. Tuan tidak menyesal melakukan semua itu?"
Yazid sengaja mahu menduga ketetapan hati Khalid.
"Kekayaan dan pangkat akan tinggal di dunia apabila saya meninggal dunia, tetapi apa yang saya dapat setelah menjadi pengikut Muhammad pasti berkekalan sehingga hari akhirat."
Jawab Khalid dengan lancar. Yazid tidak membalas lagi. Dia sudah melihat perubahan yang begitu ketara pada pahlawan itu selepas menjadi pengikut Muhammad. Khalid bin Walid kini bukan lagi seorang yang suka bermegah dan bangga diri. Mereka berdua meneruskan perjalanan sebelum berhenti di lembah yang terletak antara Mekah dan Madinah.
"Kita berehat di sini dahulu sebelum meneruskan perjalanan ke Madinah pada esok hari."
Khalid berpendapat tempat ini sesuai bagi mereka bermalam dan merehatkan badan.
"Saya menurut sahaja apa kata tuan."
Yazid tidak membantah.
 
 
 
 
 


No comments:

Post a Comment