Saturday, 20 December 2014

KHALID AL WALID (Bahagian 3)

     Khalid bin Walid menunggang kudanya dengan tenang merentasi padang pasir yang kering kontang. Dia sengaja tidak memecut kudanya dengan laju kerana memberi peluang kepada mereka yang memusuhi Muhammad menyekat perjalanannya. Khalid bertekad mahu menentang habis-habisan sesiapa yang cuba menghalangnya. Dia rela mempertaruhkan nyawanya demi Muhammad.
     Tiba-tiba kelihatan seorang anak muda sedang memecut kudanya dengan laju. Khalid berhenti lalu bersiap sedia dengan senjata di tangan.
"Siapa saudara? Adakah saudara disuruh oleh Abu Lahab bagi menghalang perjalanan saya?"
Tanya Khalid sebaik sahaja pemuda itu menghampirinya.
Bertenang dahulu. Nama saya Yazid. Saya juga mahu pergi ke Madinah bagi bertemu dengan Muhammad."
Jawab anak muda itu.
"Saya harap ini bukan tipu helah saudara yang sengaja mahu memperdayakan saya. Saudara bukannya tandingan saya."
Khalid memberikan peringatan kepada pemuda itu.
"Saya bersumpah tidak menipu tuan. Saya sedar tuan gagah perkasa dan bukan tandingan saya bagi berlawan senjata."
Yazid cuba meyakinkan Khalid. Khalid berasa senang hati lalu menyarungkan pedangnya semula.
"Sekiranya begitu mari kita teruskan perjalanan."
Kata Khalid.
"Tunggu dahulu. Saya mahu menyerahkan sesuatu kepada tuan."
Kata Yazid. Dia mengeluarkan bungkusan lalu menghulurkan kepada Khalid.
"Ada apa di dalam bungkusan itu?"
Khalid kehairanan melihat bungkusan itu. Dia berasa ragu-ragu mahu mengambilnya.
"Dalam bungkusan ini ada 20 ribu dinar. Saya dapatkannya daripada Abu Lahab. Saya mahu serahkannya kepada tuan."
Jawab anak muda itu. Khalid mengerutkan dahi mendengar kata-kata Yazid.
"Saya tidak faham. Lebih baik saudara berterus terang."
"Abu Lahab menawarkan hadiah kepada sesiapa yang sanggup menghalang tuan daripada berhijrah ke Madinah. Saya bimbang orang lain mrnerima tawarannya. Oleh itu, saya menawarkan diri dan Abu Lahab memberikan wang ini sebagai upahnya."
Terang Yazid. Khalid mengangguk-ngangguk sambil tersenyum. Barulah dia faham mengapa Yazid membawa 20 ribu dinar kepadanya.
"Saudara simpan sahaja wang itu. Saya tidak berhak mengambilnya.'
Ujar Khalid.
"Abu Lahab pasti berdendam dengan saya. Saya tidak akan kembali ke Mekah. Saya mahu menetap di Madinah bersama Muhammad."
Balas Yazid.
"Saya juga begitu."
Kata Khalid lagi. Dia senang hati mendengar kata-kata Yazid.
"Tuan meninggalkan segala kemewahan di Mekah kerana mahu menjadi pengikut Muhammad. Wang ini tentu berguna."
Jelas Yazid. Dia memberikan bungkusan itu kepada Khalid.
"Saudara simpan sahaja wang itu. Saya tidak berminat."
Khalid menolak pemberian Yazid. Yazid akur dengan kata-kata Khalid. Dia menyimpan kembali bungkusan itu. Mereka berdua meneruskan perjalanan ke Madinah.
"Tungganglah kuda saudara dengan tenang."
Tegur Khalid apabila melihat Yazid seperti sedang gelisah dan tergesa-gesa.
"Tidak perlu terburu-buru kerana tiada apa yang perlu ditakutkan."
"Saya yakin tidak ada siapa yang berani menghalang perjalanan kita kerana tuan gagah perkasa dan berani."
Ujar Yazid. Khalid hanya berdiam diri mendengar kata-kata pemuda itu.
"Tidak ada lelaki yang sanggup menentang tuan. Sebab itu saya saya mahu ikut tuan ke Madinah."
Jelas Yazid lagi. Khalid memandang Yazid.
"Benar kata saudara. Tidak ada penduduk Mekah yang sanggup menentang saya tetapi penduduk Madinah sebaliknya."
"Apa maksud tuan?"
Tanya Yazid. Dia tidak faham dengan kata-kata Khalid sebentar tadi.
"Banyak lelaki yang lebih hebat daripada saya di Madinah, antaranya adalah Muhammad. Dia adalah lelaki pilihan Tuhan dan tiada siapa yang dapat membunuhnya kerana sentiasa dilindungi oleh Tuhan yang maha kuasa."
Terang Khalid kepada Yazid. Yazid mula faham maksud Khalid.
"Itu benar kerana ramai yang tidak berjaya membunuhnya."
"Semasa perang Uhud, angkatan tentera musuh dari Mekah berjaya membunuh pasukan pemanah yang ditempatkan di atas bukit tetapi mereka masih gagal membunuh Muhammad. Dia hanya cedera ringan."
Khalid mengimbas kembali situasi semasa perang Uhud.
"Izinkan saya bertanya satu perkara."
Yazid tidak mahu melukakan hati Khalid.
"Silakan wahai saudaraku."
Khalid bersedia mendengar pertanyaan Yazid.
"Apa yang menyebabkan tuan berubah fikiran? Mengapa tuan tiba-tiba menjadi pengikut Muhammad sedangkan sebelum ini tuan begitu memusuhinya?"
Yazid benar-benar ingin tahu bagaimana Khalid boleh berubah dengan sekelip mata. Khalid diam seketika seperti sedang berfikir. Dia merenung padang pasir yang terbentang saujana mata memandang. Yazid menunggu jawapan Khalid dengan sabar.
"Ada banyak sebab mengapa saya buat begitu."
Kata-katanya terhenti seketika. Bunyi desiran angin mengisi kesunyian antara mereka berdua.
"Saya sudah membuat perbandingan antara peribadi Muhammad dengan Abu Lahab. Muhammad memiliki peribadi mulia yang melayakkannya menjadi pemimpin. Peribadinya begitu berbeza jika dibandingkan dengan Abu Lahab dan pemimpin yang lain."
Khalid menyambung semula kata-katanya.
"Benar kata tuan."
Yazid menyokong Khalid.
"Muhammad digelar al_Amin iaitu orang yang bercakap benar. Semua orang percaya dengan apa yang dikatakan oleh Muhammad selama ini, tetapi ramai yang menentangnya apabila dia bercakap mengenai Islam."
"Mereka menentang bukan kerana apa yang dibawa oleh Muhammad itu tidak benar, tetapi kerana kejahilan dan keegoan yang tinggi. Mereka takut kehilangan pangkat dan kuasa."
Jelas Khalid lagi. Yazid mengangguk tanda membenarkan kata-kata Khalid.Dalam diam, dia mengagumi pahlawan itu. Yazid sebenarnya gembira apabila Khalid mahu menjadi penyokong Muhammad dan seterusnya berhijrah ke Madinah. Sejak kecil lagi Khalid sudah bercita-cita mahu menjadi pahlawan Quraisy. Dia lebih berminat mempelajari ilmu peperangan berbanding ilmu perniagaan.
"Muhammad pastinya semakin kuat dengan adanya pengikut seperti tuan.Selain perang Uhud, tentera Quraisy juga pernah tewas dalam perang Badar."
Ujar Yazid.
"Kekalahan dalam perang Badar membuatkan saya rasa terhina. Muka saya seperti dipalit dengan najis. Saya membuat persiapan bagi menghadapi perang Uhud. Saya mahu menebus maruah kaum Quraisy. Saya juga bertekad memimpin tentera Quraisy ke medan Uhud sama ada hidup atau mati."
Khalid menyatakan perasaannya.
"Bagaimana keadaannya semasa perang Uhud?"
Tanya Yazid. Khalid memandang Yazid.
"Saudara tidak tahu mengenai perang Uhud?"
Soalnya kembali.
"Maafkan saya. Saya tidak berada di Mekah semasa perang Uhud."
Terang Yazid. Khalid bin Walid diam seketika manakala Yazid menunggu dengan sabar.
"Orang-orang Islam mengambil tempat membelakangi Bukit Uhud dalam perang Uhud."
Tiba-tiba Khalid bersuara kembali.
"Itu strategi yang baik kerana di Bukit Uhud terdapat satu laluan genting. Muhammad menempatkan 50 orang pemanah terbaik bagi menjaga laluan itu. Baginda berpesan kepada mereka supaya tidak meninggalkan kedudukan walau apapun yang terjadi."
Sambung Khalid bin Walid lagi.
"Apa yang terjadi?"
Tanya Yazid ingin tahu.
*Abdul Latip Talib. (2007). Khalid Memburu Syahid. Selangor: PTS Litera Utama Sdn. Bhd.
 
 
 
 
 
 
 
 
 


 
 
 
 
  
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

No comments:

Post a Comment