Thursday, 25 December 2014

KHALID AL WALID (Bahagian 6)

"Apa jawapannya?"
"Ayah saya tidak menafikan ayat-ayat yang dibaca oleh Muhammad dan mengaku agama yang disampaikan olehnya adalah benar. Ayah juga mengaku Muhammad itu rasul tetapi dia angkuh dan sombong. Dia menganggap dirinya yang layak dipilih menjadi rasul kerana dia lebih kaya dan berpengaruh dalam masyarakat sedangkan Muhammad itu miskin."
Terang Khalid lagi.
"Begitu rupanya."
Sekali lagi Yazid mengangguk-angguk.
"Saya tidak nafikan harta kekayaan membuatkan orang selalu terlupa siapa dirinya yang sebenar."
"Ayah juga pernah mengupah seorang ahli gusti bernama rukanah bin Abdul Yazid bagi mencabar Muhammad supaya berlawan gusti. Dia juga berpesan kepada Rukanah supaya membunuh Muhammad dalam pertandingan itu kerana tiada sesiapa yang akan menyalahkan Rukanah apabila Muhammad meninggal dunia dalam gelanggang."
Khalid menyambung ceritanya lagi.
"Saya pasti rancangan itu tidak berjaya kerana Muhammad masih hidup."
Ujar Yazid. Khalid mengangguk mengiakan kata-kata Yazid.
"Rukanah adalah ahli gusti yang handal kerana belum pernah tewas. Muhammad pula pula ahli gusti. Secara logiknya, Muhammad pasti dapat ditewaskan dengan mudah tetapi saudara tahu apa yang berlaku?"
"Saya tidak tahu."
Jawab Yazid dengan jujur.
"Muhammad berjaya mengalahkan Rukanah dengan mudah walaupun dia bukan ahli gusti. itu menunjukkan dia mendapat bantuan daripada Tuhan."
Yazid tidak terkejut mendengar berita itu. Dia sudah banyak mendengar cerita mengenai Muhammad walaupun tidak pernah bertemu dengannya.
"Muhammad itu rasul dan saya mahu menjadi pengikutnya."
Kata Yazid dengan yakin.
"Saya juga mahu menjadi pengikut Muhammad yang setia. Saya harap impian ini tercapai."
Khalid menzahirkan suara hatinya.
"Tuan adalah pahlawan yang hebat. Kedatangan tuan pasti disambut dengan tangan terbuka."
Yazid kurang mengerti maksud kata-kata Khalid.
"Andaian saudara mungkin betul dan mungkin tidak."
Balas Khalid.
"Mengapa tuan berkata begitu?"
Yazid semakin kurang faham maksud kata-kata Khalid.
"Dalam masyarakat kami, hutang darah dibayar darah dan hutang nyawa dibayar nyawa. Kami sanggup berperang apabila seorang ahli daripada suku kaum kami dibunuh."
Beritahu Khalid.
"Jadi apa kaitannya dengan Muhammad?"
Yazid yang bukan berasal dari Mekah masih belum memahami budaya masyarakat di situ.

"Saya menyebabkan 50 orang pemanah handalan tentera Islam terbunuh dalam perang Uhud. Saya pasti banyak sahabat dan saudara-mara mereka yang berdendam."
Khalid terdiam lagi seperti memikirkan sesuatu.
"Tetapi saya yakin dengan sifat-sifat terpuji yang ada pada Muhammad."
"Berdoalah semoga tuan dimaafkan."
Ujar Yazid.

 
 
 

 
  
 

 
 
 
  

No comments:

Post a Comment