Wednesday, 24 December 2014

KHALID AL WALID (Bahagian 5)

Malam semakin larut. Padang pasir yang tandus itu diselubungi suasana sepi. Bulan purnama yang tergantung di dada langit bersinar terang dan sesekali angin gurun bertiup kencang menerbangkan debu-debu halus.


"Apa nama tempat ini?"
Tanya Yazid yang masih bersandar pada bongkah batu besar.
"Saya suka dengan suasananya yang sepi, tidak seperti kota Mekah yang sentiasa sibuk siang dan malam."
Sebentar tadi dia terlena kepenatan, namun kemudian Yazid terjaga semula.
"Ul Halifa."
Jawab Khalid bin Walid.
"Saya juga sukakan tempat ini. Sebab itu saya memilih kawasan ini sebagai tempat bermalam."
"Saya berasa selamat berada di sini kerana batu-batu yang besar ini boleh dijadikan tempat berlindung daripada binatang buas dan penyamun padang pasir."
Ujar Yazid lagi.
"Tempat ini juga mengingatkan saya kepada Walid."
"Walid? Bukankah itu nama ayah tuan?"
Yazid kehairanan.
"Dia adik kami yang bongsu."
Jawab Khalid bin Walid.
"Namanya sama dengan nama ayah tuan?"
Yazid meminta kepastian.
"Masyarakat kami selalu menamakan anak lelaki mereka mengikut nama bapa."
Terang Khalid.
"Mengapa dengan Walid? Adakah dia masih hidup?"
Tanya Yazid.
"Walid lebih dahulu masuk Islam daripada kita. Sekarang dia berdamping rapat dengan Muhammad. Dia juga yang menyebabkan saya mahu bertemu Muhammad."
Jawab Khalid bin Walid.
"Ada kisah menarik mengenai pengislamannya?"
Tanya Yazid.
"Saya harap tuan sudi menceritakannya bagi manfaat saya."
"Kita nikmati dahulu daging yang sudah masak ini."
Ujar Khalid.
"Sebentar lagi saya ceritakan mengenai Walid kepada saudara."
Yazid bangun lalu duduk di samping Khalid bin Walid. Mereka sama-sama memakan daging panggang itu.
"Saya lebih tertarik mahu mendengar cerita tentang Walid, adik tuan itu."
"Saudara berasal dari mana?"
Khalid mahu tahu latar belakang Yazid.
"Saya berasal dari Yaman. Saya suka merantau jauh kerana mahu mencari kebenaran. Apabila mendengar mengenai seorang lelaki di Mekah yang mengaku dirinya adalah nabi, saya terus mahu bertemu dengannya. Tetapi apabila sampai ke Mekah, dia sudah berhijrah ke Madinah."


 Terang Yazid.
"Dia adalah Muhammad. Kita dapat bertemu dengannya apabila sampai di Madinah nanti."
Balas Khalid bin Walid.
"Saya rasa kita pernah bertemu kerana saya sudah lama di Mekah. Saya mengenali ramai pemimpin Quraisy termasuk Abu Lahab. Saya juga mengenali tuan tetapi tuan tidak mengenali saya kerana saya hanya pengembara."
Kata Yazid. Yazid melihat Khalid ketawa kecil untuk pertama kali. Dia hanya tersenyum.
"Saya tidak sabar mahu mendengar kisah Walid sebagaimana yang dijanjikan."
Yazid bimbang sekiranya Khalid terlupa janjinya. Khalid tidak menjawab. Dia merenung jauh ke arah padang pasir yang luas terbentang di hadapannya.
"Kisah Walid ada kaitan dengan tempat ini. Saya semakin merinduinya sejak kita menjejakkan kaki ke sini."
Khalid memulakan ceritanya. Menurut Khalid lagi, kisah itu berlaku semasa perang Badar.
"Tentera Islam yang berjumlah 313 orang berjaya mengalahkan 1000 orang tentera Quraisy yang datang dari Mekah. Sebanyak 70 orang tentera Quraisy Mekah terbunuh dan 70 orang lagi berjaya ditawan oleh tentera Islam termasuk Walid."

Ujar Khalid.
"Apakah yang terjadi kepada Walid? Adakah dia dibunuh oleh Muhammad?"
Yazid tidak sabar-sabar ingin tahu.
"Muhammad menyuruh tentera Islam melayan semua tawanan dengan baik. Situasi ini berbeza dengan Abu Lahab dan Abu Jahal yang gemar menyeksa sesiapa sahaja yang mengaku Allah itu Tuhan mereka."
Jawab Khalid dengan panjang lebar.
"Saya dan abang pergi ke Madinah kerana mahu membebaskan adik kami. Kami diminta membayar 4000 dinar bagi menebus Walid. Semasa dalam perjalanan pulang, kami singgah bermalam di tempat ini."
Khalid berhenti seketika. Dia merenung jauh ke arah padang pasir yang luas.
"Pada waktu malam, Walid melarikan diri lalu kembali semula kepada Muhammad."
Khalid menyambung ceritanya semula.
"Mengapa dia lakukan begitu?"
Tanya Yazid pula.
"Dia menerima layanan baik daripada Muhammad dan sanggup kembali semula ke Madinah supaya dapat terus bersama Muhammad. Dia lebih sayangkan Muhammad daripada saudaranya sendiri."

Jawab Khalid. Yazid mengangguk tanda mengerti mengapa tempat itu mengingatkan Khalid kepada adiknya.
"Apa yang terjadi selepas itu?"
Tanya Yazid lagi.
"Muhammad berjaya mengambil hati Walid. Apabila melihat Walid kembali kepada Muhamad, saya pula mula tertarik kepadanya."
Jelas Khalid bin Walid.
"Ayah saya paling kuat menentang Muhammad. Dia pernah berjumpa dengan Abu Talib yang memelihara Muhammad sejak kecil dan menawarkan abang saya Ammarah bagi ditukarkan dengan Muhammad supaya dapat dibunuh. Abu Talib tidak mahu menyerahkan Muhammad. Saya sendiri pernah bertanya kepada ayah mengapa dia sangat benci kepada Muhammad."
Khalid bin Walid berhenti di situ.

*Abdul Latip Talib. (2007). Khalid Memburu Syahid. Selangor: PTS Litera Utama Sdn. Bhd.
 


No comments:

Post a Comment