Friday, 27 May 2016

NEW ZEALAND PRAYER TIMES

NEW ZEALAND PRAYER TIMES (Dhuhr)

1) Auckland - 12:19
2) Dunedin - 12:36
3) Hamilton - 12:17
4) Wellington - 12:19

DO RUSH FOR SOLAH, DON'T RUSH IN SOLAH :-)



Thursday, 25 December 2014

HARGA DIRI YANG HILANG

Seorang saudagar Arab yang sombong sedang bersiar-siar dengan menunggang kudanya yang sangat mahal. Dia melalui sebuah bandar sambil mempamerkan jubah dan perhiasan mahalnya.

Tiba-tiba lalu sekumpulan tentera berkuda dengan laju dan berlanggar dengannya.

Dia jatuh terjelepok. Seorang tukang sapu datang menolongnya.

"Ah, tuan sudah jatuh!"
Kata si tukang sapu.
"Aku tidak jatuh, hanya jubahku yang jatuh!"
"Tapi tuan benar-benar telah jatuh."
Kata tukang sapu itu lagi.
"Aku tidak jatuh. Yang jatuh adalah jubahku. Cuma kebetulan badanku berada di dalam jubah ini!"
Dia menoleh ke arah kudanya.
"Oh, kudaku yang mahal! Kakinya telah patah."
Katanya sambil melihat kudanya yang berada di sisi.
"Tuan...tangan tuan. Tangan tuan sudah tiada!"

Ujar tukang sapu itu sambil menunjukkan tangan kanan saudagar yang telah kudung dan berlumuran darah akibat kemalangan tadi. Barulah saudagar itu tersedar yang tangannya sudah kudung.

"Aduh...mana pergi cincin permata di jari tanganku?"

*Ramai daripada kita merasakan harga diri terletak pada barang-barang berharga yang dimiliki. Jika harga diri terletak pada barang-barang berharga yang kita miliki, maka siapakah kita apabila barang-barang berharga itu musnah?

**AnggukGeleng. Solusi (Isu 15)


KHALID AL WALID (Bahagian 6)

"Apa jawapannya?"
"Ayah saya tidak menafikan ayat-ayat yang dibaca oleh Muhammad dan mengaku agama yang disampaikan olehnya adalah benar. Ayah juga mengaku Muhammad itu rasul tetapi dia angkuh dan sombong. Dia menganggap dirinya yang layak dipilih menjadi rasul kerana dia lebih kaya dan berpengaruh dalam masyarakat sedangkan Muhammad itu miskin."
Terang Khalid lagi.
"Begitu rupanya."
Sekali lagi Yazid mengangguk-angguk.
"Saya tidak nafikan harta kekayaan membuatkan orang selalu terlupa siapa dirinya yang sebenar."
"Ayah juga pernah mengupah seorang ahli gusti bernama rukanah bin Abdul Yazid bagi mencabar Muhammad supaya berlawan gusti. Dia juga berpesan kepada Rukanah supaya membunuh Muhammad dalam pertandingan itu kerana tiada sesiapa yang akan menyalahkan Rukanah apabila Muhammad meninggal dunia dalam gelanggang."
Khalid menyambung ceritanya lagi.
"Saya pasti rancangan itu tidak berjaya kerana Muhammad masih hidup."
Ujar Yazid. Khalid mengangguk mengiakan kata-kata Yazid.
"Rukanah adalah ahli gusti yang handal kerana belum pernah tewas. Muhammad pula pula ahli gusti. Secara logiknya, Muhammad pasti dapat ditewaskan dengan mudah tetapi saudara tahu apa yang berlaku?"
"Saya tidak tahu."
Jawab Yazid dengan jujur.
"Muhammad berjaya mengalahkan Rukanah dengan mudah walaupun dia bukan ahli gusti. itu menunjukkan dia mendapat bantuan daripada Tuhan."
Yazid tidak terkejut mendengar berita itu. Dia sudah banyak mendengar cerita mengenai Muhammad walaupun tidak pernah bertemu dengannya.
"Muhammad itu rasul dan saya mahu menjadi pengikutnya."
Kata Yazid dengan yakin.
"Saya juga mahu menjadi pengikut Muhammad yang setia. Saya harap impian ini tercapai."
Khalid menzahirkan suara hatinya.
"Tuan adalah pahlawan yang hebat. Kedatangan tuan pasti disambut dengan tangan terbuka."
Yazid kurang mengerti maksud kata-kata Khalid.
"Andaian saudara mungkin betul dan mungkin tidak."
Balas Khalid.
"Mengapa tuan berkata begitu?"
Yazid semakin kurang faham maksud kata-kata Khalid.
"Dalam masyarakat kami, hutang darah dibayar darah dan hutang nyawa dibayar nyawa. Kami sanggup berperang apabila seorang ahli daripada suku kaum kami dibunuh."
Beritahu Khalid.
"Jadi apa kaitannya dengan Muhammad?"
Yazid yang bukan berasal dari Mekah masih belum memahami budaya masyarakat di situ.

"Saya menyebabkan 50 orang pemanah handalan tentera Islam terbunuh dalam perang Uhud. Saya pasti banyak sahabat dan saudara-mara mereka yang berdendam."
Khalid terdiam lagi seperti memikirkan sesuatu.
"Tetapi saya yakin dengan sifat-sifat terpuji yang ada pada Muhammad."
"Berdoalah semoga tuan dimaafkan."
Ujar Yazid.

 
 
 

 
  
 

 
 
 
  

Wednesday, 24 December 2014

PLUMBUM PEMBUNUH TAMADUN ROM? (sambungan)



  • Majalah Science News menyatakan bahawa kesan buruk plumbum telah lama diketahui. Sekurang-kurangnya selama 2000 tahun masyarakat dunia mengenali plumbum sebagai racun yang kuat walaupun masih bingung tentang cara racun itu bekerja.
  • Menurut Jerome Nriagu dari Institut Penelitian Air Nasional Kanada , orang Rom biasa menambahkan sirap arak anggur -(sapa) yang dididihkan di dalam bekas plumbum.
  • Menurut Nriagu dalam majalah Newsweek, satu senduk teh sirap (sapa) adalah lebih daripada cukup untuk menyebabkan keracunan plumbum yang kronik. 
  • Pada masa yang sama, pemimpin bangsa Rom ialah peminum arak anggur yang kuat. Berdasarkan pengiraan Nriagu juga menyatakan bahawa kaum elit Rom minum sebanyak satu hingga lima liter arak anggur pada setiap hari!
  •  Orang Rom menggunakan pemanis tiruan, iaitu gula daripada plumbum untuk memaniskan dan memelihara makanan tanpa mengambil kalori tambahan. Sirap yang dikenali sebagai sapa ini ialah gula plumbum daripada pemeraman jus anggur. Gula plumbum mungkin pemanis buatan manusia yang pertama dan kini dikenali sebagai Plumbum (II) Asetat kimia. Bahan ini merupakan pepejal kristal beracun yang menyerupai garam. 
  • Berdasarkan The Medical Post dari Kanada, penyelidik yakin bahawa satu daripada punca bangsa Rom mengalami kemerosotan disebabkan oleh kegemaran mereka untuk memaniskan arak anggur dengan plumbum.
  • Malah ada laporan yang menyatakan bahawa keracunan akibat penggunaan logam berlaku secara meluas dalam perabot, senjata, kosmetik, bekas arak anggur dan paip air. Hal ini mungkin menjadi penyebab peningkatan sakit mental dalam kalangan Kaisar Rom serta peningkatan kadar kemandulan dan keguguran yang menyebabkan golongan berkuasa tidak mempunyai pengganti.
  • Persoalan tentang keseriusan pencemaran plumbum dalam masyarakat Rom amat mustahak untuk didebatkan. Menurut Nriagu dan rakannya, pengiraan yang mereka lakukan berdasarkan maklumat tentang gaya hidup Roman, perlombongan timah dan besi paip terutamanya dalam paip plumbum, proses memasak dan industri wain. Kajian ini menunjukkan bahawa golongan bangsawan membangunkan keracunan sistematik yang teruk.
  • Gilfillan, seorang penyelidik, menyokong hipotesis bahawa keracunan plumbum menyebabkan penurunan kadar kesuburan dan meningkatkan kadar keguguran dalam kalangan wanita Rom. Malah diakui bahawa cara ini ialah satu daripada sebab penurunan jumlah bangsawan Rom dari tahun Sebelum Masihi (SM) hingga abad kedua. Sebagai contoh, nama keluarga bangsawan Julius dan Comelius hilang secara sistematik.
Julius Caesar
  • Konklusinya, setiap warga dunia perlu belajar daripada kesilapan bangsa Rom ini. Kita perlu memikirkan tentang langkah bagi mengurangkan pendedahan dan kesan plumbum terhadap diri sendiri khususnya dan masyarakat secara amnya.  
  • Jika sudah terkena racunnya, maka terapi pengkelatan iaitu terapi menggunakan vitamin C  terbukti dapat mengurangkan peningkatan plumbum di dalam darah sebanyak 81 peratus. Darah siapa? Darah PEROKOK! Hal ini disebabkan vitamin C menghalang penyerapan plumbum daripada saluran pencernaan ke dalam darah. Plumbum yang masuk ke dalam salur pencernaan pula akan keluar sebagai najis. Namun, bukankah mencegah itu lebih baik daripada mengubati? Jika anda seorang perokok atau menyimpan impian ingin menjadi seorang perokok, fikir-fikirkanlah apa yang sudah terjadi kepada tamadun Rom satu ketika dahulu yang musnah akibat satu bahan yang turut terdapat dalam sebatang rokok, iaitu PLUMBUM!
*Muhammad Nuruddin Bashah. Dewan Kosmik (Jun 2014)
  •  

PLUMBUM PEMBUNUH TAMADUN ROM?


  • Isu kejatuhan tamadun Rom dibahaskan dari pelbagai aspek. 

  • Antara punca kemerosotan tamadun ini termasuklah pencemaran logam berat di dalam makanan dan udara di kota pemerintahan Rom. Ada beberapa fakta tentang peranan pencemaran plumbum terhadap kemerosotan dan kejatuhan tamadun Rom.
  • Istilah plumbum menjadi popular apabila isu petrol tanpa plumbum diperkenalkan. Isu ini cukup popular hingga minyak dikategorikan sebagai minyak hijau dan minyak merah sekitar era 1990-an. Pada waktu itu, minyak hijau mewakili petrol tanpa plumbum manakala minyak merah mewakili petrol dengan plumbum. 



  • Plumbum hasil daripada penggunaan petrol berplumbum merupakan satu daripada sumber utama pencemaran alam sekitar. Logam berat ini dapat menyebabkan keracunan dan pelbagai gejala kesihatan khususnya kepada kanak-kanak.
  • Sistem penghadaman kanak-kanak dapat menyerap hingga 50 peratus daripada plumbum yang memasuki tubuh mereka. Tambahan pula apabila tubuh dicemari oleh plumbum, proses pembangunan dan sistem tubuh didapati terjejas hingga berpuluh-puluh tahun.
  • Semua ini terbukti berdasarkan pelbagai kajian antarabangsa. Kaitan antara kanak-kanak dengan petrol berplumbum juga agak jelas. Misalnya, di Amerika Syarikat antara tahun 1976 - 1991 berlaku pengurangan sebanyak 77 peratus kandungan plumbum di dalam darah kanak-kanak yang dikaji berikutan langkah melupuskan penggunaan petrol berplumbum.

  • Sumber Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula menganggarkan bahawa antara 15 - 18 juta kanak-kanak di negara membangun mengalami kerosakan otak yang berkekalan akibat keracunan plumbum. Lagi sekali, pencemaran daripada kenderaan yang menggunakan petrol berplumbum terlibat.
  • Apabila plumbum memasuki tubuh sama ada melalui mulut ataupun pernafasan, pigmen plumbum terpisah dan tubuh menyerapnya sebagaimana tubuh menerima elemen lain yang dikenal pasti kegunaan dan manfaatnya, seperti kalsium dan zat besi. 
  • Sebagaimana yang diketahui, plumbum tidak mempunyai apa-apa nilai fungsi biologi yang berguna di dalam tubuh. Kehadirannya hanya menyebabkan toksik pada beberapa organ dalaman tubuh. Apabila diserap diserap di dalam sistem tubuh, plumbum berkebolehan untuk menghalang fungsi normal organ di dalam badan. Kebanyakan plumbum tersimpan di dalam tubuh terutamanya di tulang belakang dan buah pinggang.
  • Orang Rom ketika kekuasaan para Kaisar ialah bangsa pertama yang menemukan potensi industri plumbum. Namun begitu mereka membayarnya dengan harga yang mahal iaitu dengan nyawa mereka sendiri akibat pencemaran yang diakibatkan oleh plumbum. 



  • Para pekerja Rom menggulung lembaran besar plumbum menjadi paip bagi digunakan dalam sistem penyaluran air mereka yang luas. 
  • Orang Rom dan Yunani mengimpal paip plumbum yang memiliki takat lebur rendah itu bagi menyambungkan antara satu paip dengan paip yang lain. Akhirnya, paip yang sangat panjang dapat disambung bagi menyalurkan air ke tempat yang jauh.  
  • Orang rom juga membentuk plumbum menjadi bekas air tempat menyimpan arak anggur dan peralatan memasak. Membran tahan cuaca yang dibuat daripada lembaran plumbum dikembangkan untuk dipakai sebagai atap.
  • Jus anggur pekat yang dikenali sebagai sapa yang lazimnya digunakan sebagai pemanis disediakan di dalam bekas yang diperbuat daripada bahan plumbum. 
*Muhammad Nuruddin Bashah. Dewan Kosmik (Jun 2014)

KHALID AL WALID (Bahagian 5)

Malam semakin larut. Padang pasir yang tandus itu diselubungi suasana sepi. Bulan purnama yang tergantung di dada langit bersinar terang dan sesekali angin gurun bertiup kencang menerbangkan debu-debu halus.


"Apa nama tempat ini?"
Tanya Yazid yang masih bersandar pada bongkah batu besar.
"Saya suka dengan suasananya yang sepi, tidak seperti kota Mekah yang sentiasa sibuk siang dan malam."
Sebentar tadi dia terlena kepenatan, namun kemudian Yazid terjaga semula.
"Ul Halifa."
Jawab Khalid bin Walid.
"Saya juga sukakan tempat ini. Sebab itu saya memilih kawasan ini sebagai tempat bermalam."
"Saya berasa selamat berada di sini kerana batu-batu yang besar ini boleh dijadikan tempat berlindung daripada binatang buas dan penyamun padang pasir."
Ujar Yazid lagi.
"Tempat ini juga mengingatkan saya kepada Walid."
"Walid? Bukankah itu nama ayah tuan?"
Yazid kehairanan.
"Dia adik kami yang bongsu."
Jawab Khalid bin Walid.
"Namanya sama dengan nama ayah tuan?"
Yazid meminta kepastian.
"Masyarakat kami selalu menamakan anak lelaki mereka mengikut nama bapa."
Terang Khalid.
"Mengapa dengan Walid? Adakah dia masih hidup?"
Tanya Yazid.
"Walid lebih dahulu masuk Islam daripada kita. Sekarang dia berdamping rapat dengan Muhammad. Dia juga yang menyebabkan saya mahu bertemu Muhammad."
Jawab Khalid bin Walid.
"Ada kisah menarik mengenai pengislamannya?"
Tanya Yazid.
"Saya harap tuan sudi menceritakannya bagi manfaat saya."
"Kita nikmati dahulu daging yang sudah masak ini."
Ujar Khalid.
"Sebentar lagi saya ceritakan mengenai Walid kepada saudara."
Yazid bangun lalu duduk di samping Khalid bin Walid. Mereka sama-sama memakan daging panggang itu.
"Saya lebih tertarik mahu mendengar cerita tentang Walid, adik tuan itu."
"Saudara berasal dari mana?"
Khalid mahu tahu latar belakang Yazid.
"Saya berasal dari Yaman. Saya suka merantau jauh kerana mahu mencari kebenaran. Apabila mendengar mengenai seorang lelaki di Mekah yang mengaku dirinya adalah nabi, saya terus mahu bertemu dengannya. Tetapi apabila sampai ke Mekah, dia sudah berhijrah ke Madinah."


 Terang Yazid.
"Dia adalah Muhammad. Kita dapat bertemu dengannya apabila sampai di Madinah nanti."
Balas Khalid bin Walid.
"Saya rasa kita pernah bertemu kerana saya sudah lama di Mekah. Saya mengenali ramai pemimpin Quraisy termasuk Abu Lahab. Saya juga mengenali tuan tetapi tuan tidak mengenali saya kerana saya hanya pengembara."
Kata Yazid. Yazid melihat Khalid ketawa kecil untuk pertama kali. Dia hanya tersenyum.
"Saya tidak sabar mahu mendengar kisah Walid sebagaimana yang dijanjikan."
Yazid bimbang sekiranya Khalid terlupa janjinya. Khalid tidak menjawab. Dia merenung jauh ke arah padang pasir yang luas terbentang di hadapannya.
"Kisah Walid ada kaitan dengan tempat ini. Saya semakin merinduinya sejak kita menjejakkan kaki ke sini."
Khalid memulakan ceritanya. Menurut Khalid lagi, kisah itu berlaku semasa perang Badar.
"Tentera Islam yang berjumlah 313 orang berjaya mengalahkan 1000 orang tentera Quraisy yang datang dari Mekah. Sebanyak 70 orang tentera Quraisy Mekah terbunuh dan 70 orang lagi berjaya ditawan oleh tentera Islam termasuk Walid."

Ujar Khalid.
"Apakah yang terjadi kepada Walid? Adakah dia dibunuh oleh Muhammad?"
Yazid tidak sabar-sabar ingin tahu.
"Muhammad menyuruh tentera Islam melayan semua tawanan dengan baik. Situasi ini berbeza dengan Abu Lahab dan Abu Jahal yang gemar menyeksa sesiapa sahaja yang mengaku Allah itu Tuhan mereka."
Jawab Khalid dengan panjang lebar.
"Saya dan abang pergi ke Madinah kerana mahu membebaskan adik kami. Kami diminta membayar 4000 dinar bagi menebus Walid. Semasa dalam perjalanan pulang, kami singgah bermalam di tempat ini."
Khalid berhenti seketika. Dia merenung jauh ke arah padang pasir yang luas.
"Pada waktu malam, Walid melarikan diri lalu kembali semula kepada Muhammad."
Khalid menyambung ceritanya semula.
"Mengapa dia lakukan begitu?"
Tanya Yazid pula.
"Dia menerima layanan baik daripada Muhammad dan sanggup kembali semula ke Madinah supaya dapat terus bersama Muhammad. Dia lebih sayangkan Muhammad daripada saudaranya sendiri."

Jawab Khalid. Yazid mengangguk tanda mengerti mengapa tempat itu mengingatkan Khalid kepada adiknya.
"Apa yang terjadi selepas itu?"
Tanya Yazid lagi.
"Muhammad berjaya mengambil hati Walid. Apabila melihat Walid kembali kepada Muhamad, saya pula mula tertarik kepadanya."
Jelas Khalid bin Walid.
"Ayah saya paling kuat menentang Muhammad. Dia pernah berjumpa dengan Abu Talib yang memelihara Muhammad sejak kecil dan menawarkan abang saya Ammarah bagi ditukarkan dengan Muhammad supaya dapat dibunuh. Abu Talib tidak mahu menyerahkan Muhammad. Saya sendiri pernah bertanya kepada ayah mengapa dia sangat benci kepada Muhammad."
Khalid bin Walid berhenti di situ.

*Abdul Latip Talib. (2007). Khalid Memburu Syahid. Selangor: PTS Litera Utama Sdn. Bhd.