Tuesday, 25 November 2014

ikhlas tapi jauh



“Dengarlah bintang hatiku, aku akan menjagamu, dalam hidup dan matiku, hanya engkau yang ku tuju.”
Sadiq tersentak dari lamunan yang panjang dek kerana alunan nada dering telefon bimbitnya. Sekilas nama pemanggil ditatapnya. Riak wajahnya mula berubah, seakan tahu apa hajat si pemanggil.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”
Salam yang dihulur segera disambut. Nada suaranya cuba diceriakan walau hati bergolak kencang.
“Adik ni dah lama tak datang rumah Along. Telefon pun tidak. Along telefon pun asyik tak berangkat. Malam ni baru dapat dengar suara adik kesayangan Along ni.”
Bebel Along sambil tergelak kecil.
“Along sihat?”
Cepat-cepat Sadiq menukar fokus kakaknya itu.
“Biasalah dik. Orang yang dah tak berapa muda macam Along ni ada saja sakitnya. Kadang-kadang rasa lenguh badan, pening kepala…macam-macam la. Macam-macam ada katanya. Tapi tidak le sampai nak dimasukkan ke wad. Ha, kamu pula macam mana?”
“Macam mana apa Along?”
Sadiq mengharapkan bukan perkara itu yang ingin diketahui kakaknya.
“Ujian darah yang Along suruh buat itu la. Rasanya dah dua bulan lebih kamu buat ujian darah tu. Takkan tak dapat lagi keputusannya. Semuanya baik kan?”
“Along, Adik nak batalkan hasrat untuk meminang Fayyadhah.”
Terasa seperti ada seketul batu kerikil yang baru keluar dari corong tekaknya. Sakit!
“Tapi kenapa? Along dan Angah dah setuju. Kami dah mula rancang itu ini untuk majlis meminang nanti. Kamu berdua bergaduh ke? Bawa-bawa berbincang la dik. Jangan ikutkan perasaan. Benda baik ni memang banyak dugaannya.”
“Adik…”
Akhirnya, terluah juga kebenaran itu. Sufi terdiam di hujung talian. Sadiq mula dihambat kesenduan.  
******************************************************************************
“Saya dah buat pilihan tapi saya masih rasa tak yakin. Saya tak tahu cara yang sesuai untuk meyakinkan keluarga saya dengan pilihan ini. Saya tak nak disebabkan saya maka hubungan kami sekeluarga akan menjadi renggang. Saya juga tak mahu mengecewakan mereka dengan keputusan saya. Bagi menghindari semua ini daripada berlaku, jadi saya memilih untuk tidak memilih!”
Gadis di hadapannya sekadar mengerutkan kening. Seolah-olah tidak mengerti dengan kata-katanya yang agak berbelit-belit itu. Jelas terpancar ketidakyakinan pada wajah lelaki berkulit hitam manis itu.
“Kalau awak sendiri pun tak yakin dengan pilihan yang awak buat, macam mana awak nak yakinkan keluarga awak dengan keputusan ni?”
Soal Fayyadhah dalam nada tegas. Sadiq diam seribu bahasa. Tiada sepatah kata pun keluar dari bibir jejaka itu. Dia cuba melarikan pandangannya daripada tenungan mata gadis di hadapannya. Memang dia ingin mengatakan sesuatu kepada Fayyadhah tetapi dia sendiri  keliru dengan perasaannya. Bagaimana harus dia mengucapkannya kepada gadis itu. Berdalih atau berterus-terang sahaja? Ya Allah, sukarnya untuk aku melalui detik ini. Sakitnya menanggung rasa fitrah ini. Bantu aku, kuatkan diriku mengharungi dugaan ini.
“Sadiq .”
Sadiq menghirup sedikit teh panas yang sejak tadi memang sudah sedia terhidang di atas meja bulat itu.   Setelah meletakkan cawan teh tersebut, dia memberanikan diri menatap wajah insan istimewa yang turut sedang merenungnya. Udara yang disedut terasa sedikit menyempitkan dada dan menyebabkan pernafasannya menjadi tidak lancar. Dia cuba menenangkan diri dengan menarik nafas perlahan dan kemudian menghembus keluar angin panas itu. Perbuatan ini dilakukannya beberapa kali sehingga dirinya mula dikuasai ketenangan dan sedikit demi sedikit mengusir jauh rasa gementar sebentar tadi.
“Sebelum lidah ini meneruskan niat di hati dan sebelum telinga awak mendengar penjelasan saya, sejujurnya tindakan yang saya ambil ini adalah kerana rasa hormat saya pada awak. Saya mohon maaf atas segala keterlanjuran kata dan perbuatan saya yang mungkin menyebabkan awak tidak selesa sepanjang perkenalan kita. Saya yakin setiap yang berlaku ada hikmahnya. Begitu juga dengan pertemuan dan perkenalan kita.”
“Apa yang awak nak sampaikan sebenarnya? Saya tak faham ayat berlapik-lapik ni. Sekarang ni saya cuma nak tahu apa status saya dalam hati awak? Kawan? Bakal isteri? Atau awak sekadar nak test market dengan saya? Lepas dapat, tinggalkan saya. Macam touch and go. Selepas awak sentuh hati saya, awak pergi tinggalkan saya. Itu ke kedudukan saya dalam hidup awak?”
Biarlah kelihatan dirinya seperti perigi mencari timba. Bagi Fayyadhah, mendahului lelaki dalam urusan hati dan perasaan bukanlah sesuatu yang memalukan. Dia perlukan penjelasan dan yang paling tepat adalah kepastian. Dia sudah lelah untuk bermain teka silang kata dengan jejaka itu. Prinsipnya mudah, setiap perkara perlu ada pengakhiran. Kita tidak selamanya muda untuk terus diulit impian tanpa kenyataan. Hidup ini berkisar tentang realiti dan bukan fantasi. Berpijak di bumi nyata lebih elok daripada terus-menerus menganyam angan di langit mimpi.
Raut wajah Sadiq dipenuhi kerisauan. Dia mengeluh perlahan sambil menggeleng kepala sebelum mengatur akal untuk memulakan bicara.
“Fayyadhah, saya Sadiq Aswad bukanlah jodoh awak. Sesungguhnya, saya tidak layak untuk awak. Saya berharap agar awak bertemu dengan insan yang lebih baik secepat mungkin.”
Sejurus kata-kata pengakuan itu dilafazkan, jelas kelihatan riak kedukaan pada wajah gadis di hadapannya. Sadiq menelan liur, menahan debar di dada menanti reaksi Fayyadhah. Seketika alam dirasakan bertukar sunyi dan hening. Ruang sepi itu hanya diisi dengan bunyi hingar-bingar di kafeteria tersebut. Suasana bisu yang melingkari dua insan ini akhirnya dihiasi suara halus Fayyadhah.
“Seronok kan dapat permainkan perasaan orang, Encik Sadiq Aswad.”
Sudah diduga pasti Fayyadhah akan menyalahkannya. Sememangnya inilah yang patut dilakukan gadis itu, cuma dia sahaja yang tidak tahu bagaimana caranya untuk mengungkap kata maaf kepada Fayyadhah. Luka tidak mungkin dapat diubati sekelip mata. Perkataan ‘encik’ yang diungkapkan Fayyadhah kepada dirinya menunjukkan rasa sakit dalam hati gadis manis tersebut. Itu dia tahu, tapi kerana sayang dia terpaksa melakukan semuanya. Sadiq cuba mencari ayat yang sesuai untuk menangkis kata-kata Fayyadhah sebentar tadi. 
“Saya tak pernah berjanji apa-apa dengan awak Fayyadhah. Kita berdua cuma bermain dengan perasaan dalaman saja selama ni dan ini pertama kali kita bercakap tentang hati dan perasaan sepanjang perkenalan  kita selama setahun.”
Bicara lelaki itu umpama belati tajam yang menikam jantungnya. Sinis Fayyadhah memandang Sadiq. Ternyata kelulusan akademik tidak mampu menjamin kematangan seseorang. Belajar sehingga peringkat Sarjana tetapi hati dan perasaan dibuang entah ke mana. Akal kurniaan Sang Pencipta hanya digunakan untuk meraih sijil-sijil yang boleh dihimpunkan dalam fail peribadi untuk tatapan manusia bagi meraih penghargaan duniawi semata-mata. Jiwa Fayyadhah semakin panas membakar melihatkan ulah Sadiq.  
“Janji tidak semestinya perlu diucapkan. Bercakap tidak seharusnya dengan suara dan tidak selalunya  perlu didengar dengan telinga. Jadi saya ingin bertanya, apa pula maksud di sebalik 12 keping kad dan bekas gula-gula FOX’S yang setiap satunya dilekatkan dengan kertas tertulis kata-kata ‘ FOX’S = Fayyadhah: Octopus, Xtraordinary, Sweetheart’ yang awak berikan kepada saya selama ini?”
Sadiq menarik nafas dalam-dalam sebelum menghelanya keluar. Dia mengakui kekhilafannya. Memberi harapan dan kemudian menghancurkannya merupakan tindakan yang zalim. 
Fayyadhah umpama sotong kurita atau octopus baginya. Gadis itu tidak pernah duduk diam. Dia akan melakukan dua tiga pekerjaan yang berlainan dalam satu masa. Sambil memasak di dapur dia boleh mencuri masa untuk menaip sambungan kerjanya dan bergegas menyidai kain yang telah siap dibasuh di ampaian. Ketika menonton televisyen, dia akan mengupas bawang, memotong cili atau mengait alas meja. Disebabkan rasa kagumnya pada gadis itu, maka Sadiq menggelar Fayyadhah sebagai octopus yang punya banyak tangan.
Bagi Sadiq, Fayyadhah merupakan insan luar biasa yang pernah dikenalinya. Xtraordinary adalah daripada perkataan extraordinary yang membawa maksud ini. Sweetheart? Sadiq terkedu. Si jantung hati? Mengapa dia memanggil Fayyadhah dengan panggilan ini? Sekadar suka-suka atau sememangnya dia memaksudkannya? Hanya Allah yang tahu rahsia hatinya.   
“Saya tak nak bercakap tentang perkara ini lagi. Segalanya dah jelas dan nyata. Saya dan awak tiada jodoh antara kita. Noktah!”
“Tidak menjawab soalan bukan jawapan kepada soalan saya.”
“Fayyadhah, tolonglah. Jangan rumitkan keadaan. Kita hanya manusia yang hanya mampu merancang, tapi hakikatnya perancangan Allah mengatasi segala-galanya. Allah merencanakan hanya yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya. Kita dipertemukan secara baik dan saya berharap sangat agar kita dapat berpisah juga secara baik. Lagipun, Along dan Angah saya bencikan perempuan macam awak. Awak bukan adik ipar pilihan mereka. Tiada ruang dalam keluarga kami untuk awak. Carilah lelaki lain yang boleh terima awak!”
Fayyadhah menundukkan kepalanya. Mata bundar miliknya mula terasa perit. Agak lama dia berkeadaan begitu. Sadiq mengetap bibir menahan sebak apabila esakan Fayyadhah menerjah pendengarannya.
“Maafkan saya kerana terlalu emosional. Betul kata awak. Awak tak pernah menabur janji pada saya tapi saya yang secara sukarela mengutip impian indah yang awak cipta selama ini. Awak tak salah dan tak patut dipersalahkan. Saya yang silap. Silap menilai perasaan awak dan silap meletakkan awak dalam hati saya. Terima kasih kerana hari ini awak menyedarkan semula saya tentang betapa tidak layaknya seorang wanita seperti saya untuk berdampingan dengan lelaki seperti awak. Terima kasih banyak-banyak.”
Fayyadhah lekas bangkit setelah kerusi ditolak ke belakang. Dia bergerak menjauhi lelaki itu. Agak laju langkahnya dihayun. Dia ingin keluar dari kawasan kampus ini dan segera sampai ke rumah sewanya. Baginya segalanya sudah jelas. Tiada apa-apa lagi yang perlu dijelaskan. Dia bukan yang terbaik untuk Sadiq. Dia cuba mengukir senyuman walau hakikatnya amat menyakitkan. Senyuman kekuatan yang diiringi air mata kekecewaan.
Sadiq mula berdiri untuk mengejar Fayyadhah, tetapi membatalkan niat itu tatkala matanya tertancap pada sekumpulan pelajar yang sedang memerhatikannya. Bukan dirinya untuk mencari publisiti murahan dengan menjaja kisah hati dan perasaan pada orang ramai. Dia yakin sekiranya dia meneruskan hasrat untuk mengejar Fayyadhah sambil melaung memanggil gadis itu, pasti adegan tersebut akan dijaja dari mulut ke mulut oleh para pelajar yang berada di kafe tersebut. Natijahnya, pasti dia dan Fayyadhah akan terpalit dengan rasa malu yang tidak terhingga.
******************************************************************************
Fail-fail pelajar disusun satu-satu secara menegak di dalam almari kayu itu. Fail yang menyimpan rekod prestasi pelajar amat penting dan perlu dijaga rapi. Setiap hari pasti akan ada ibu bapa atau penjaga yang menanyakan tentang anak mereka semasa mengambil anak tersebut dari sekolah ini. Pusat untuk kanak-kanak cacat ini lebih berkonsepkan sekolah dan bukannya pusat jagaan seperti tanggapan kebanyakan ibu bapa. Sedang tangannya menyusun atur fail-fail itu, Imtiyaz tersentak bila pinggangnya dicuit secara tiba-tiba.
“Ala, tak geli rupanya. Kita ingat nak terperanjatkan dia sampai melatah. Rancangan gagal!”
Ujar Lauzah sambil membetulkan kerongsang tudungnya yang hampir-hampir terjatuh setelah ketapan pin tersebut terbuka.   
“Bab nak terperanjatkan tu memang berjaya, tapi tang nak tengok saya melatah tu memang tak lah! Untuk pengetahuan puan, saya merupakan seorang Perempuan Melayu Terakhir yang tidak melatah. Saya merupakan warganegara Malaysia yang patuh pada prinsip kelima Rukun Negara iaitu kesopanan dan kesusilaan. Sopan tak kak Im?”
Sambut Imtiyaz sambil meliuk-lentukkan kedua-dua tangan seperti penari inang pula lagaknya.
“Huh! Berbulu mata aku.”
“Isy, apa selama ini puan tidak mempunyai bulu mata?”
Sengaja Imtiyaz bersikap loyar buruk dengan teman serumahnya itu. Dia mahu ‘membakar’ hati Lauzah.
“Itu bulu mata, memang sejak azali dah ada tapi ini berbulu je mata aku tengok perangai kau. Ada faham? Kalau tak faham meh aku lekatkan bulu ayam ni kat mata kau. Baru betul namanya berbulu. Berbulu ayam. Amacam, nak cuba?”
Rakannya itu menggertak sambil menggoyang-goyangkan pembersih bulu ayam yang memang sedia ada di kelas itu di depan mata Imtiyaz.
“Ampunkan patik penunggu gua. Ampunkan patik penunggu gua. Janganlah diri ini disakiti. Sesungguhnya, patik pacar yang hina hanya bergurau senda di waktu senja nan merah ini. Patik  mohon diampuni.”
“Woi!  Sudah la tu. Kau ni makin melalut-lalut tak putus kalimah ni kenapa? Aku nak lekas. Malam ni kena ganti staf sakit. Keracunan makanan katanya.”
Mereka sudah pun memasuki kereta setelah Imtiyaz mengunci pagar sekolah itu. Dia memang diamanahkan untuk memegang kunci sekolah kerana dia yang paling awal sampai ke sekolah dan paling lambat pulang ke rumah. Imtiyaz menumpang kereta Lauzah untuk ke tempat kerja setiap hari kerana laluan ke sekolah ini dan tempat kerja rakannya itu adalah sama. Setelah hampir lima minit, perjalanan mereka terhenti di simpang empat itu kerana nyalaan merah lampu isyarat. Nombor 199 yang terpampang di skrin elektronik itu melelahkan mereka. Jenuh hendak menunggu giliran kereta bergerak.
“Eh, hari ni hari Khamis, 30 April kan?”
“Ye, kenapa tiba-tiba kau tanya? Hadif nak datang sini ke? Aku okey je kalau tinggal seorang hujung minggu ni. Kau mesti nak luangkan masa dengan suami tercinta kan. Almaklumlah, PJJ. Perkahwinan Jarak Jauh. Sebulan sekali baru berjumpa, ye tak? Hehe.” 
“Isy, bukan la. Hadif pergi Dubai dua minggu. Nak bincang pasal projek baru katanya. Entahlah, aku bukannya faham pasal dunia orang minyak ni. Aku tanya pasal tarikh tadi sebab aku teringatkan Kak Awa.”
“Kenapa dengan Kak Awa?”
“Hari tu dia ada jemput datang makan kenduri di kampung dia. Kenduri kahwin adik dia. Hari Sabtu 2 Mei. Ini sebelah lelaki. Sebelah perempuan dah buat minggu lepas di Perak. Kita pergi ye. Lagipun esok cuti umum. Jadi tak ada masalah la kalau kita nak ke sana. Sempat rehat-rehatkan badan dan kemas apa yang patut sebelum berjalan jauh ke selatan.  Boleh juga tengok-tengok negeri orang.”
“Kau saja la yang pergi. Aku segan la. Aku kenal nama Kak Awa saja, orangnya aku tak pernah jumpa pun. Kau lain la, adik angkat dia merangkap saudara tidak sedarah sedaging.”
“Sampainya hati kau nak biarkan aku bawa kereta seorang-seorang dari utara sampai selatan. Kalau aku mengantuk, siapa nak segarkan biji mata aku ni? Kalau kau ada, boleh juga tolong suakan gula-gula ke, hulurkan air atau suapkan roti kat mulut aku ni supaya biar celik semula mata kuyu aku. Boleh juga jadi teman berbual. Lagipun apa yang kau nak segankan? Bukannya Kak Awa tak kenal kau. Aku selalu cerita pasal kau pada Kak Awa sampai dia pernah cakap yang kalau kau jalan depan dia, mesti dia boleh cam kau. Masa dia jemput aku, dia memang ada sebut nama kau sekali. Cuma dalam kad yang dia bagi aku tu tak tertulis nama kau sebab dia tulis ‘Lauzah dan pasangan’. Memandangkan Hadif tak ada, jadi engkau lah jadi pasangan aku.  Lupakan itu semua kerana isunya di sini adalah kau telah dijemput. Jadi kau kena pergi. Tiada bantahan dan alasan. Keputusan muktamad!”
“Okey, okey, aku pergi. Puas hati?”
“Macam ni la baru kawan.”
******************************************************************************
Cuaca waktu ini agak bahang dengan matahari tegak di atas kepala. Dari dalam kereta yang dilengkapi penghawa dingin pun sudah terasa kepanasannya apatah lagi bila jasad sudah berada di luar kereta sebegini. Deretan kereta yang memarkir di kiri dan kanan bahu jalan amat menyesakkan kepala. Tambahan pula dengan puluhan lagi kenderaan beroda empat itu yang masih berlegar-legar di kawasan itu untuk mencari tempat parkir. Pasukan RELA yang bertugas begitu gigih mengarah selia kenderaan keluar masuk bagi memastikan kelancaran trafik. Lauzah membetul-betulkan pakaiannya agar nampak kemas. Berbelas jam menempuh perjalanan jauh dengan terpaksa melayan sahabatnya yang mual-mual sepanjang perjalanan. Pening kepala, muntah dan sakit perut mengalahkan dirinya yang sedang hamil lima bulan ini.
“Im, dah sampai ni. Jom turun.”
Kejut Lauzah sejurus pintu sebelah Imtiyaz dibuka. Imtiyaz yang kelihatan lemah membuka perlahan kelopak matanya. Gumpalan tisu yang telah kotor dengan sisa-sisa muntahnya dicampak ke dalam plastik sampah yang sedia tersangkut di gear kereta. Setelah berpuluh tahun baru hari ini dia tahu yang dirinya alah apabila menaiki kenderaan tinggi. Selama ini dia hanya pernah menaiki kereta dan basikal sahaja. Hendak dikatakan terlalu tinggi seperti bas atau lori, tidak pula. Sekadar tinggi sedikit daripada kereta biasa. Jika dia tahu begini jadinya, tidak mungkin dia akan membenarkan Lauzah memandu MPV itu dan bukannya kereta yang biasa mereka naiki.
“Kau okey tak? Kalau tak okey, kita pergi check in homestay dulu. Kau rehat kat sana, biar aku seorang saja yang datang sini semula. Okey?”
“Eh, jangan. Kita dah sampai. Buang minyak je kalau patah-patah balik macam tu. Aku okey. Biasalah baru bangun tidur, memang nampak mamai sikit. Aku pun teringin juga nak makan nasi minyak. Nak tunggu nasi minyak sendiri, entah bila agaknya. Dah, jom kita bergerak ke pit stop. Imtiyaz and Lauzahah, you are team number one!”
The Amazing Race, Don’t Dream High If You Allergic With High Vehicles Season!”
Berderai tawa kedua-dua wanita ini.
“Alamak, aku ada masalah besar ni.”
Adu Imtiyaz setelah reda daripada keriangan sebentar tadi. Dia kini sedang menggagau tangannya mencari sesuatu di dalam tas tangan.
“Apa yang kau cari?”
“Cermin mata. Rasa-rasanya aku tertinggal di rumah kita. Aku ada satu cermin mata tapi ada dua bekas cermin mata yang sama. Cermin mata yang satu lagi tu dah rosak. Dah senget sebelah. Aku terpijak sebab tak perasan. Aku salah bawa bekas cermin mata. Tengok ni, kosong.”
Segera bekas cermin mata itu dibukanya bagi menunjukkan ketiadaan isinya. Dengan power cermin mata setinggi 1000 di kedua-dua belah mata amat menyukarkan pergerakan Imtiyaz sekiranya terpaksa berjalan tanpa alat optik tersebut. Penglihatannya menjadi amat terbatas. Semasa dalam perjalanan tadi, dia menggunakan kanta lekap yang kemudiannya telah dikeluarkan sebelum melelapkan mata. Entah di mana silapnya, bekas menyimpan kanta lekap itu boleh terbuka lalu jatuh di atas alas kaki kereta yang agak berdebu. Sudahnya, terpaksalah dia mengucapkan selamat tinggal kepada kanta lekap yang baru dibelinya minggu lepas.   
“Jadi sekarang ni maknanya kau tak ada cermin mata nak dipakai la ye?”
“Hmm.”
“Jangan risau. Kau ikut je aku. Kalau takut jatuh, jangan segan silu nak berpaut pada lengan akak ye. Akak rela dipauti!”
Sengaja Lauzah menyakat kawannya itu.
“Apa nama pengantinnya?”
“Ain Insyirah binti Ngadiman!”
“Amboi! Siap hafal nama ayah orang. Hebat. Tapi, adik Kak Awa lelaki kan? Apa namanya?”
“Minta maaf sebab aku tak suka nak menghafal nama suami orang! Nama suami aku saja yang bertakhta di hati dan minda.”
“Eeh, ke situ pula kau. Aku tanya sebab dalam kad undangan mesti ada tulis nama  pengantin. Lagipun tadi bukan main lagi kau menghafal nama pengantin perempuan, tak kan nama pengantin lelakinya kau tak ingat langsung. Kalau aku ni memang logik la kalau tak ingat sebab kad kahwinnya pun aku tak baca. Bukan kata nak ingat, memang langsung tak tahu!”
“Membebel je la kau ni. Menipu namanya kalau aku cakap aku tak ingat langsung. Nama pengantin lelaki tu…Sadiq…Sadiq A…a…entahlah Sadiq apa agaknya aku tak pasti. Kalau kau beria sangat nak tahu, nanti kau tanya Kak Awa sendiri.”
‘Sadiq A? Ini majlis kahwin dia ke? Ya Allah, tabahkan hatiku.’
Doa Imtiyaz di dalam hati.
Sebaik sahaja memasuki perkarangan rumah, Lauzah pantas menarik Imtiyaz mendekati kakak angkatnya yang sedang sibuk melayan tetamu di bawah khemah. Kawasan rumah yang luas itu telah menempatkan kira-kira 10 buah khemah biasa, dua buah khemah yang agak cantik hiasannya dan sebuah lagi khemah pengantin yang tersangat indah dipandang mata.
“Assalamualaikum Kak Awa. Tahniah sebab dah dapat adik ipar baru. Kak, ini la Imtiyaz yang selalu Lauzah ceritakan tu.”
Wanita berbaju kurung hijau pucuk pisang itu pantas bersalaman dengan Imtiyaz sambil tersenyum manis setelah menjawab salam Lauzah.
“Jemputlah makan ye. Maaf akak tak dapat nak layan kamu makan sekali. Sibuk melayan tetamu. Sekejap lagi ada tetamu khas nak datang.”
“Maaf tanya kak. Akak ada jemput VIP ke? Bukan apa, saya nampak ada dua buah khemah yang lebih cantik berbanding dengan khemah-khemah lain. Tertarik menarik nampaknya.”
Lauzah bertanya dalam nada berseloroh.
“Pandai kamu bergurau. Memang khemah untuk VIP pun. Orang-orang yang penting dalam usaha memanusiakan kami adik-beradik.VIP itu ialah cikgu-cikgu yang pernah mengajar kami semua. Dari tadika hingga ke sekolah menengah termasuk ustaz dan ustazah yang mengajar kami membaca Al-Quran. Along cakap, walaupun dia tiada rezeki untuk belajar di universiti tapi kerana ilmu dan nasihat yang selalu diberikan oleh guru-guru semasa zaman persekolahannya telah menjadikan dia seorang yang matang untuk melayari kehidupan ini sebagai ibu dan bapa kepada adik-adiknya. Along mendidik kami supaya sentiasa mengingati jasa guru dan mendoakan kesejahteraan mereka di dunia dan akhirat.”
‘Indahnya akhlak Along. Adakah dia merupakan orang yang sama memaksa Sadiq untuk meninggalkan aku? Mungkin orang lain agaknya.’
Imtiyaz seakan tidak percaya.
“Khemah yang sebelah itu pun untuk VIP juga?”
Lauzah terus menyoal.
“Khemah itu bukan untuk VIP tapi VVIP. Insan-insan yang sangat penting dalam hidup kami adik-beradik. Sejak kami kecil, Along akak selalu bawa kami ke Rumah Orang-Orang Tua dan semaikan rasa kasih sayang serta belas ihsan terhadap penghuni di situ. Along kata, walaupun ibu bapa kami sudah tiada di dunia ini, tetapi kami masih mampu mencurahkan bakti kepada ibu dan ayah di situ. Mereka merupakan ibu bapa kami semua. Eh, banyak pula celoteh akak ni. Orang datang kenduri sepatutnya dapat makan, tapi kamu dapat dengar akak membebel pula. Sudah la tu, mari cepat kita ke meja cari tempat duduk. Kamu berdua sila makan ye. Akak ada urusan yang hendak diselesaikan.”
******************************************************************************
‘Apa ni?’
Soal hatinya tatkala terpijak sesuatu.
“Ya Allah, memang betul sangkaan aku. Dia yang kahwin rupanya. Hebat permainan awak, Sadiq Aswad!”  
Ucap bibirnya sambil menggenggam erat kad undangan perkahwinan yang terjatuh di lantai ruang tamu rumah itu. Dia sedang menunggu Lauzah yang masih berada di tandas. Jelas tertera nama Sadiq dan Insyirah beserta dengan gambar kedua-dua mempelai di muka hadapan kad tersebut. Tidak sanggup rasanya untuk membelek isi kandungan kad berlipat dua itu. Sebak mula menguasai diri. Saat hati mula belajar untuk melupakan, hatinya kembali diuji.
“Imtiyaz.”
Sapaan Kak Awa menyedarkannya. Tergugup gagap juga dibuatnya. Sedaya mungkin dia cuba menahan dirinya daripada menangis.
“Im nak tumpang tandas boleh?”
“Apa pula tak bolehnya. Mari ikut akak ke bilik. Bilik air belakang ada jiran gunakan untuk mandikan anak dia. Budak tu dah buat bom! Meredam baunya.”
Kak Awa tertawa dengan kata-katanya sendiri.
“Ini bilik akak. Kamu gunalah bilik air tu. Kalau dah sudah, kamu cuma tolong rapatkan pintu bilik sebab nak elakkan gas aircond keluar. Okey la, akak keluar dulu ye.”
Imtiyaz mengunci pintu bilik air setelah menutupnya rapat. Selang beberapa minit, dia keluar lalu mengesat tangan pada tuala tangan yang tergantung di dinding sebelah luar bilik air.
“Angah, Adik nak pinjam tandas. Tandas luar ada orang. Alamak ada orang. Maaf cik.”
Suara itu menggegarkan jantungnya. Suara yang sama. Suara yang amat dikenalinya. Adakah dia… Imtiyaz yang sedang membelakangkan si empunya suara segera menukar posisi badannya. Lelaki itu sudah mahu keluar dari bilik tersebut tetapi terhenti tiba-tiba. Dia sedang memandang Imtiyaz. Mata mereka bertatapan. Lidah pula kelu seribu bahasa. Pandangan dan hati bergerak senada. Nada terkejut! Imtiyaz terperanjat.  Si dia terkedu. Imtiyaz terdiam. Si dia terpempan.
“Assalamualaikum Fayyadhah si octopus!”
“Maaf mengganggu. Saya nak panggil kawan saya, boleh? Dah naik berkematu dan berketuat saya menunggu dia di luar. Rupa-rupanya ada dalam bilik ini. Nasib baik Kak Awa beritahu. ”
Lauzah yang tiba-tiba muncul dari sebalik pintu yang terbuka itu menyentakkan kedua-dua mereka. Lelaki itu menundukkan wajah sambil berlalu keluar dari bilik. Terputus selera hendak ke bilik air!
“Lauzah, aku dah jumpa dia semula. Hanya dia seorang saja yang panggil aku Fayyadhah dan bukannya Imtiyaz. Hanya dia seorang saja yang suka panggil nama yang arwah nenek bagi walaupun sebenarnya dia tahu nama sebenar aku Imtiyaz. Hanya dia satu-satunya kawan lelaki aku  yang sempat jumpa nenek sebelum nenek meninggal dunia. Hanya dia yang pernah tengok macam mana aku uruskan rumah bila dia terpaksa tinggal di rumah nenek selama seminggu sebab kereta dia rosak. Aku yang curi-curi bawa kereta dia sebab teringin sangat nak memandu. Lauzah, kau tahu kan apa jadi pada kereta tu? Aku dengan kereta tu sama-sama terjunam dalam parit berair. Punyalah teruk kereta tu aku kerjakan, tapi dia sikitpun tak marah aku. Dia kata nyawa aku lagi penting. Dia tak marah aku walaupun dia terpaksa habiskan cuti semester dia di kampung aku. Dia tak merungut walaupun terpaksa tunggu lama untuk biarkan mekanik baiki kereta dia yang aku rosakkan. Dia tolong nenek bagi lembu makan, tolong atuk bersihkan kebun pisang, tolong kami betulkan pagar kawat rumah dan macam-macam lagi yang ditolongnya. Dia bagi aku gula-gula FOX’S. Panggil aku octopus. Lauzah, kau tahu semua tu kan? Dia bagi aku harapan kononnya kakak-kakak dia nak datang meminang aku. Tapi tak berapa lama kemudian dia putuskan hubungan kami. Katanya aku bukan jodoh dia. Disebabkan rasa hormat maka dia menolak kehadiran aku dan mengakui yang Along dia membuat keputusan yang tepat. Keputusan apa? Keputusan membatalkan hasrat menerima aku dalam keluarga mereka selepas mereka beri harapan yang tinggi kepada aku.”
Lauzah kaget melihat Imtiyaz yang tanpa henti kembali menyingkap sejarah silam hidupnya.
“Sekarang ni, selepas bertahun-tahun aku jumpa dia semula. Aku yang terhegeh-hegeh datang majlis kahwin dia dan baru aku tahu yang Kak Awa tu sebenarnya Angah dia. Kau pernah beritahu aku yang Kak Awa memang boleh kenal aku walaupun tak pernah jumpa kan? Memang la, sebab dia pernah tengok gambar aku masa konon-kononnya nak menjadikan aku ni adik ipar dia. Dulu, masa aku nak tengok gambar kakak-kakak dia, dia tak bagi sebab katanya nak buat kejutan bila berjumpa nanti. Akhirnya aku yang terkejut. Terkejut dengan sandiwara mereka sekeluarga. Peliknya, Kak Awa tak terkejut langsung masa jumpa aku tadi. Apa maknanya tu? Maknanya kehadiran aku ke sini sudah dirancang dan motifnya adalah untuk menyeksa hati aku. Apa semua ini?”
“Im, sudah la. Aku kenal Kak Awa. Dia tak mungkin buat semua tu.”
“Kau menangkan dia sebab ini keluarga kakak angkat kau kan? Kau tak rasa apa yang aku rasa. Cuba kau fikir, dia pernah beritahu aku yang keluarga dia bukan orang senang. Tinggal di kawasan setinggan. Ini ke rupa rumah orang tak senang? Macam ini ke kenduri kahwin keluarga orang tak senang? Aku sedar yang aku ni cacat dan berpenyakit, tapi aku ada harga diri dan tolong berhenti mempermainkan aku.”
Imtiyaz mengesat hidung yang turut berair sealir dengan air matanya. Dalam sedu dia menggerakkan tangan kananya memegang bahu kanan yang tidak bertangan. Dari sebalik baju kurung yang dipakai, jelas terasa lengan baju itu kosong tidak berisi!
“Baiklah, sekarang izinkan saya pula memberikan penjelasan.”
Ujar lelaki itu yang entah bila sudah berada di belakang Imtiyaz dan Lauzah.
“Saya Sadiq Aswad dan ini abang kembar saya, Sadiq Afifi merangkap sebagai raja sehari pada hari ini. Ini pula isterinya, Ain Insyirah yang dengan sendirinya telah menjadi kakak ipar saya. Dalam  keluarga, abang saya ini dipanggil sebagai Sadiq dan nama panggilan saya pula ialah Adik kerana saya merupakan anak bongsu. ”
Sadiq Afifi tersenyum, begitu juga dengan isterinya. Fayyadhah masih merenung Sadiq Afifi tanpa berkelip bagaikan tidak percaya melihatkan kebenaran ini.
“Fayyadhah, jangan pandang macam tu. Ini suami orang!”
Tegur Sadiq Aswad. Segera matanya dialihkan ke tempat lain. Malu ditegur sedemikian rupa.
“Memang kami bukan orang senang  dan selama ini kami tinggal di rumah setinngan tinggalan arwah ummi dan walid. Ummi mengambil upah mengait alas meja, alas kusyen dan baju bayi. Ummi juga ambil tempahan menyulam sarung bantal dan cadar. Ummi tak jual kuih-muih atau nasi lemak sebab di kawasan tempat tinggal kami sudah ada dua buah keluarga yang bergantung hidup dengan hasil jualan kuih-muih dan nasi lemak. Jadi ummi tak  mahu kacau periuk nasi orang lain sebab ummi selalu pesan, kalau kita nak periuk nasi kita dipenuhi nasi, sama juga dengan orang lain. Jangan sesekali cuba menabur pasir dalam periuk nasi orang. Kalau kita tahu erti lapar, orang lain pun faham makna lapar. Kalau kita suap nasi ke mulut untuk hilangkan rasa lapar, takkan kita sanggup tengok orang lain suap pasir dalam mulut mereka? Setiap orang ada rezeki masing-masing dan ianya memang pasti. Perkara utama yang kita perlu buat adalah berusaha dan bertawakal.”
Sadiq Afifi dan Ain Insyirah segera keluar dari bilik itu bila terlihat pesanan ringkas yang baru dihantar oleh jurufoto meminta agar mereka bersedia untuk penggambaran luar. Kedudukan bilik ini agak tersorok dan berada di tingkat paling bawah. Banglo empat tingkat ini menempatkan bilik ini, bilik bacaan dan bilik stor di tingkat yang sama.
“Walid tiada saudara mara di Malaysia. Walid berasal dari tanah seberang. Atuk menikahkan walid dan ummi kerana terpikat dengan budi pekerti walid. Satu-satunya adik ummi, Pak Ucu telah menghalau ummi dan walid keluar dari rumah nenek dan atuk selepas nenek dan atuk meninggal dunia di Mekah semasa mengerjakan fardhu haji. Pak Ucu memang tidak sukakan walid yang dianggapnya sebagai orang asing yang tidak tentu keturunan. Ummi dan walid berpindah ke Kuala Lumpur kerana mengikut kawan walid yang ingin bekerja di sana. Walid dan kawannya akhirnya diterima bekerja sebagai buruh binaan. Selepas berpuluh tahun, Pak Ucu datang ke rumah dan minta agar kami memaafkan segala kesalahannya. Pak Ucu tidak dikurniakan anak dan isterinya telah lama meninggal. Sebelum meninggal dunia, Pak Ucu telah mewasiatkan segala harta termasuk kilang minyak kelapa sawitnya agar diserahkan kepada kami empat beradik. Urusan pentadbiran akan tetap berjalan seperti biasa. Pak Ucu juga minta agar kami  mengunakan rumah ini untuk segala majlis dan kenduri-kendara. Disebabkan itu kenduri kahwin abang Sadiq dibuat di sini.”
Kini, emosi Fayyadhah sudah semakin stabil berbanding tadi. Dia memberanikan diri bertanyakan sesuatu.
“Betul ke kerana saya ialah pembawa talasemia, awak ambil keputusan untuk memutuskan hubungan kita? Tambahan pula tangan saya kudung sebelah. ”
“Fayyadhah, saya juga merupakan pembawa talasemia! Saya telah disahkan sebagai pembawa talasemia selepas melakukan ujian darah seperti yang disarankan oleh Along. Along inginkan kepastian sama ada saya juga mempunyai penyakit talasemia seperti walid dan ummi. Along, Angah dan abang Sadiq bebas talasemia. Kaunselor klinikal memberitahu saya tentang risiko yang perlu dihadapi sekiranya saya berkahwin dengan pembawa talasemia juga. Saya yakin awak tentu tahu. Saya tak mahu melihat awak menderita.”
“Jadi, awak berbohong tentang Along dan Angah awak?”
“Saya terpaksa untuk membuatkan awak semakin benci kepada kami sekeluarga dan tinggalkan saya. Mereka langsung tak mengetahui tentang pembohongan saya terhadap awak. Saya cuma katakan yang kita berpisah secara baik. Mereka juga tak pernah lihat gambar awak sebab saya nekad buang gambar awak bila dapat tahu tentang penyakit saya. Fayyadhah, saya mohon maaf di atas segala-galanya. Saya ikhlas dengan perasaan saya tetapi sedar yang ianya amat jauh untuk direalisasikan.”
“Ikhlas tapi jauh.”
Fayyadhah membuat rumusan pada pengakuan Sadiq Aswad itu. Lelaki yang segak dengan baju melayu cekak musang itu mengangguk lemah.
“Saya nak tanya, awak nak anak tak? Maksud saya, bila dah berkahwin nanti adakah anak merupakan isu besar kepada awak?”
Tiba-tiba sahaja Lauzah bertanyakan soalan itu kepada Sadiq Aswad yang baru ingin melangkah keluar dari bilik itu.
“Anak? Logiknya kalau sudah berkahwin pastinya saya juga mengidamkan untuk memiliki zuriat sendiri. Tapi andai sudah ditakdirkan saya tiada rezeki untuk punya anak sendiri, rasanya saya masih boleh ikhtiarkan untuk mendaoatkan anak angkat. Kenapa awak tanya?”
Lauzah terus membisikkan sesuatu kepada Fayyadhah.
“Beritahulah dia.”
Fayyadhah diam seketika sebelum mengangguk perlahan.
“Hari awak putuskan hubungan kita adalah hari yang bersejarah dalam hidup saya. Saya terlibat dalam kemalangan semasa dalam perjalanan pulang ke rumah. Tiada apa yang serius berlaku kepada saya tetapi Lauzah yang terlalu bimbangkan keaadaan kesihatan saya. Dia minta agar doktor melakukan pemeriksaan penuh terhadap saya bagi memastikan saya benar-benar bebas kecederaan serius sama ada luaran atau dalaman. Doktor yang merawat saya ialah kakak ipar Lauzah. Jadi, segala-galanya menjadi lebih mudah."
“Kemudian?”
 Segera soalan diajukan. Sadiq ingin terus mendengar. Namun, Fayyadhah diam membisu dan membatukan diri. Fayyadhah tertunduk malu. Malu untuk menyatakan kebenaran tersebut.
“Dia tak mungkin boleh mengandung.”
Tutur Lauzah perlahan. Fayyadhah tetap menundukkkan wajah bagai cuba lari dari pandangan Sadiq Aswad. Lelaki itu kelihatan tenang. Langsung tidak beriak walau sedikit.
“Imtiyaz disahkan sebagai seorang perempuan yang dilahirkan tanpa rahim. Dia memang seorang wanita yang penuh dengan ciri-ciri dan sifat-sifat kewanitaan, cuma tidak dianugerahkan organ ini. Kes yang amat jarang berlaku tetapi ianya wujud dan Imtiyaz merupakan salah seorang wanita istimewa tersebut. Walau apa pun, saya nak awak tahu yang perkara ni sedikit pun tidak memberi kesan pada saya sebagai kawan baiknya. Dia masih Imtiyaz yang saya kenal dulu dan saya yakin bahawa Allah tidak menjadikan sesuatu dengan sia-sia. Setiap perkara pasti ada hikmah disebaliknya.”
Lauzah lega kerana telah menyampaikan hakikat itu. Hatinya puas setelah dapat melihat rupa sebenar lelaki yang pernah mempermainkan perasaan rakan baiknya sehingga menyebabkan Imtiyaz hampir hilang semangat untuk meneruskan hidup. Lelaki yang ingin ditengkingnya, di herdiknya dan dihamburkan amarahnya yang telah lama terpendam. Namun, setelah bertemu dengan Sadiq Aswad, hatinya yang panas menjadi sejuk melihatkan tingkah dan tutur lelaki ini.   
Untuk seketika, hanya bunyi penghawa dingin sahaja yang melegari ruang bilik itu. Tiada suara mahupun keluhan. 
“Fayyadhah, Allah mentakdirkan awak dilahirkan tanpa rahim. Allah mentakdirkan saya dan awak mempunyai talasemia. Allah mentakdirkan kita berdua bertemu dan berpisah. Kini, kerana takdir-Nya maka kita bertemu semula dalam keadaan yang tidak dijangka. Setiap kejadian pasti ada hikmah. Fayyadhah, setelah beberapa kali solat istikharah saya lakukan meminta petunjuk Yang Maha Esa sama ada saya harus meneruskan niat untuk meminang awak atau membatalkan hasrat tersebut kerana penyakit ini, sejujurnya saya katakan yang hati saya sentiasa cenderung kepada awak. Saya yakin itu jawapannya, tapi saya tetap menafikannya dan terus bertindak membuang awak dari hidup saya walau hakikatnya saya masih gagal mengusir bayangan awak dari hati saya sejak pertemuan terakhir itu. Maaf jika kata-kata saya keterlaluan, tapi saya yakin bahawa kita bertemu hari ini bukan untuk berpisah tetapi untuk bersatu dalam redha Ilahi dan restu keluarga.”
Wajah polosnya yang lencun dengan air mata dialih perlahan mengadap Sadiq Aswad.
“Awak sanggup terima kekurangan saya?”
“Bukan kekurangan tetapi jalan keluar untuk membolehkan saya menurut apa yang Allah cenderungkan kepada hati saya selama ini. Itu merupakan satu keistimewaan kurniaan dari Allah. Saya tidak mahu terus membohongi diri saya. Saya, Sadiq Aswad ikhlas dengan awak, Fayyadhah.”
“Ikhlas tapi jauh!”
Ketiga-tiga mereka dikejutkan dengan suara-suara itu. Setelah terlihatkan Sufi dan  Salwa yang baru memasuki bilik yang tidak ditutup rapat itu, Fayyadhah mula rasa gementar lebih-lebih lagi bila dirinya didekati oleh Sufi.
“Kami dah dengar segala-galanya. Fayyadhah, Along dan seluruh ahli keluarga mengalu-alukan kehadiran kamu dalam keluarga ini. Kita sambung apa yang terputus dahulu.”
Salwa yang berdiri paling dekat dengan Sadiq Aswad menepuk perlahan bahu jejaka itu sambil mengusiknya.
“Dulu ikhlas tapi jauh. Sekarang ikhlas dan dah dekat sangat!”
“Apa yang dah dekat tu?”
Sampuk Lauzah pula.
“Dah dekat tarikh nikahnya!”
Kesemua mereka menahan ketawa kerana takut didengari oleh beberapa orang tetamu yang berada di tingkat atas. Sadiq Aswad dan Fayyadhah tersenyum bahagia.
‘Kita merancang dengan cita-cita tetapi Allah mengaturnya dengan cinta. Terima kasih Ya Allah.’
Dalam senyum, Sadiq Aswad berbisik sendiri.
   

No comments:

Post a Comment