“Dengarlah bintang
hatiku, aku akan menjagamu, dalam hidup dan matiku, hanya engkau yang ku tuju.”
Sadiq tersentak dari
lamunan yang panjang dek kerana alunan nada dering telefon bimbitnya. Sekilas
nama pemanggil ditatapnya. Riak wajahnya mula berubah, seakan tahu apa hajat si
pemanggil.
“Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.”
Salam yang dihulur
segera disambut. Nada suaranya cuba diceriakan walau hati bergolak kencang.
“Adik ni dah lama tak
datang rumah Along. Telefon pun tidak. Along telefon pun asyik tak berangkat.
Malam ni baru dapat dengar suara adik kesayangan Along ni.”
Bebel Along sambil
tergelak kecil.
“Along sihat?”
Cepat-cepat Sadiq
menukar fokus kakaknya itu.
“Biasalah dik. Orang
yang dah tak berapa muda macam Along ni ada saja sakitnya. Kadang-kadang rasa lenguh
badan, pening kepala…macam-macam la. Macam-macam ada katanya. Tapi tidak le
sampai nak dimasukkan ke wad. Ha, kamu pula macam mana?”
“Macam mana apa Along?”
Sadiq mengharapkan
bukan perkara itu yang ingin diketahui kakaknya.
“Ujian darah yang Along
suruh buat itu la. Rasanya dah dua bulan lebih kamu buat ujian darah tu. Takkan
tak dapat lagi keputusannya. Semuanya baik kan?”
“Along, Adik nak
batalkan hasrat untuk meminang Fayyadhah.”
Terasa seperti ada seketul
batu kerikil yang baru keluar dari corong tekaknya. Sakit!
“Tapi kenapa? Along dan
Angah dah setuju. Kami dah mula rancang itu ini untuk majlis meminang nanti. Kamu berdua bergaduh ke? Bawa-bawa berbincang la dik. Jangan ikutkan
perasaan. Benda baik ni memang banyak dugaannya.”
“Adik…”
Akhirnya, terluah juga
kebenaran itu. Sufi terdiam di hujung talian. Sadiq mula dihambat kesenduan.
******************************************************************************
“Saya dah buat pilihan
tapi saya masih rasa tak yakin. Saya tak tahu cara yang sesuai untuk meyakinkan
keluarga saya dengan pilihan ini. Saya tak nak disebabkan saya maka hubungan
kami sekeluarga akan menjadi renggang. Saya juga tak mahu mengecewakan mereka
dengan keputusan saya. Bagi menghindari semua ini daripada berlaku, jadi saya
memilih untuk tidak memilih!”
Gadis di hadapannya
sekadar mengerutkan kening. Seolah-olah tidak mengerti dengan kata-katanya yang
agak berbelit-belit itu. Jelas terpancar ketidakyakinan pada wajah lelaki
berkulit hitam manis itu.
“Kalau awak sendiri pun
tak yakin dengan pilihan yang awak buat, macam mana awak nak yakinkan keluarga
awak dengan keputusan ni?”
Soal Fayyadhah dalam
nada tegas. Sadiq diam seribu bahasa. Tiada sepatah kata pun keluar dari bibir
jejaka itu. Dia cuba melarikan pandangannya daripada tenungan mata gadis di
hadapannya. Memang dia ingin mengatakan sesuatu kepada Fayyadhah tetapi dia
sendiri keliru dengan perasaannya.
Bagaimana harus dia mengucapkannya kepada gadis itu. Berdalih atau berterus-terang
sahaja? Ya Allah, sukarnya untuk aku melalui detik ini. Sakitnya menanggung
rasa fitrah ini. Bantu aku, kuatkan diriku mengharungi dugaan ini.
“Sadiq .”
Sadiq menghirup sedikit
teh panas yang sejak tadi memang sudah sedia terhidang di atas meja bulat
itu. Setelah meletakkan cawan teh
tersebut, dia memberanikan diri menatap wajah insan istimewa yang turut sedang
merenungnya. Udara yang disedut terasa sedikit menyempitkan dada dan
menyebabkan pernafasannya menjadi tidak lancar. Dia cuba menenangkan diri
dengan menarik nafas perlahan dan kemudian menghembus keluar angin panas itu.
Perbuatan ini dilakukannya beberapa kali sehingga dirinya mula dikuasai
ketenangan dan sedikit demi sedikit mengusir jauh rasa gementar sebentar tadi.
“Sebelum lidah ini
meneruskan niat di hati dan sebelum telinga awak mendengar penjelasan saya,
sejujurnya tindakan yang saya ambil ini adalah kerana rasa hormat saya pada
awak. Saya mohon maaf atas segala keterlanjuran kata dan perbuatan saya yang
mungkin menyebabkan awak tidak selesa sepanjang perkenalan kita. Saya yakin
setiap yang berlaku ada hikmahnya. Begitu juga dengan pertemuan dan perkenalan
kita.”
“Apa yang awak nak
sampaikan sebenarnya? Saya tak faham ayat berlapik-lapik ni. Sekarang ni saya
cuma nak tahu apa status saya dalam hati awak? Kawan? Bakal isteri? Atau awak
sekadar nak test market dengan saya?
Lepas dapat, tinggalkan saya. Macam touch
and go. Selepas awak sentuh hati saya, awak pergi tinggalkan saya. Itu ke
kedudukan saya dalam hidup awak?”
Biarlah kelihatan
dirinya seperti perigi mencari timba. Bagi Fayyadhah, mendahului lelaki dalam
urusan hati dan perasaan bukanlah sesuatu yang memalukan. Dia perlukan
penjelasan dan yang paling tepat adalah kepastian. Dia sudah lelah untuk bermain
teka silang kata dengan jejaka itu. Prinsipnya mudah, setiap perkara perlu ada
pengakhiran. Kita tidak selamanya muda untuk terus diulit impian tanpa
kenyataan. Hidup ini berkisar tentang realiti dan bukan fantasi. Berpijak di
bumi nyata lebih elok daripada terus-menerus menganyam angan di langit mimpi.
Raut wajah Sadiq
dipenuhi kerisauan. Dia mengeluh perlahan sambil menggeleng kepala sebelum
mengatur akal untuk memulakan bicara.
“Fayyadhah, saya Sadiq
Aswad bukanlah jodoh awak. Sesungguhnya, saya tidak layak untuk awak. Saya
berharap agar awak bertemu dengan insan yang lebih baik secepat mungkin.”
Sejurus kata-kata
pengakuan itu dilafazkan, jelas kelihatan riak kedukaan pada wajah gadis di
hadapannya. Sadiq menelan liur, menahan debar di dada menanti reaksi Fayyadhah.
Seketika alam dirasakan bertukar sunyi dan hening. Ruang sepi itu hanya diisi
dengan bunyi hingar-bingar di kafeteria tersebut. Suasana bisu yang melingkari
dua insan ini akhirnya dihiasi suara halus Fayyadhah.
“Seronok kan dapat permainkan
perasaan orang, Encik Sadiq Aswad.”
Sudah diduga pasti
Fayyadhah akan menyalahkannya. Sememangnya inilah yang patut dilakukan gadis
itu, cuma dia sahaja yang tidak tahu bagaimana caranya untuk mengungkap kata
maaf kepada Fayyadhah. Luka tidak mungkin dapat diubati sekelip mata. Perkataan
‘encik’ yang diungkapkan Fayyadhah kepada dirinya menunjukkan rasa sakit dalam
hati gadis manis tersebut. Itu dia tahu, tapi kerana sayang dia terpaksa
melakukan semuanya. Sadiq cuba mencari ayat yang sesuai untuk menangkis
kata-kata Fayyadhah sebentar tadi.
“Saya tak pernah
berjanji apa-apa dengan awak Fayyadhah. Kita berdua cuma bermain dengan
perasaan dalaman saja selama ni dan ini pertama kali kita bercakap tentang hati
dan perasaan sepanjang perkenalan kita
selama setahun.”
Bicara lelaki itu
umpama belati tajam yang menikam jantungnya. Sinis Fayyadhah memandang Sadiq.
Ternyata kelulusan akademik tidak mampu menjamin kematangan seseorang. Belajar
sehingga peringkat Sarjana tetapi hati dan perasaan dibuang entah ke mana. Akal
kurniaan Sang Pencipta hanya digunakan untuk meraih sijil-sijil yang boleh
dihimpunkan dalam fail peribadi untuk tatapan manusia bagi meraih penghargaan
duniawi semata-mata. Jiwa Fayyadhah semakin panas membakar melihatkan ulah
Sadiq.
“Janji tidak semestinya
perlu diucapkan. Bercakap tidak seharusnya dengan suara dan tidak
selalunya perlu didengar dengan telinga.
Jadi saya ingin bertanya, apa pula maksud di sebalik 12 keping kad dan bekas
gula-gula FOX’S yang setiap satunya dilekatkan dengan kertas tertulis kata-kata
‘ FOX’S = Fayyadhah: Octopus, Xtraordinary, Sweetheart’ yang awak berikan kepada saya selama ini?”
Sadiq menarik nafas
dalam-dalam sebelum menghelanya keluar. Dia mengakui kekhilafannya. Memberi
harapan dan kemudian menghancurkannya merupakan tindakan yang zalim.
Fayyadhah umpama sotong
kurita atau octopus baginya. Gadis
itu tidak pernah duduk diam. Dia akan melakukan dua tiga pekerjaan yang
berlainan dalam satu masa. Sambil memasak di dapur dia boleh mencuri masa untuk
menaip sambungan kerjanya dan bergegas menyidai kain yang telah siap dibasuh di
ampaian. Ketika menonton televisyen, dia akan mengupas bawang, memotong cili
atau mengait alas meja. Disebabkan rasa kagumnya pada gadis itu, maka Sadiq
menggelar Fayyadhah sebagai octopus yang
punya banyak tangan.
Bagi Sadiq, Fayyadhah
merupakan insan luar biasa yang pernah dikenalinya. Xtraordinary adalah daripada perkataan extraordinary yang membawa maksud ini. Sweetheart? Sadiq terkedu. Si jantung hati? Mengapa dia memanggil
Fayyadhah dengan panggilan ini? Sekadar suka-suka atau sememangnya dia
memaksudkannya? Hanya Allah yang tahu rahsia hatinya.
“Saya tak nak bercakap
tentang perkara ini lagi. Segalanya dah jelas dan nyata. Saya dan awak tiada
jodoh antara kita. Noktah!”
“Tidak menjawab soalan
bukan jawapan kepada soalan saya.”
“Fayyadhah, tolonglah.
Jangan rumitkan keadaan. Kita hanya manusia yang hanya mampu merancang, tapi
hakikatnya perancangan Allah mengatasi segala-galanya. Allah merencanakan hanya
yang terbaik untuk hamba-hamba-Nya. Kita dipertemukan secara baik dan saya
berharap sangat agar kita dapat berpisah juga secara baik. Lagipun, Along dan
Angah saya bencikan perempuan macam awak. Awak bukan adik ipar pilihan mereka.
Tiada ruang dalam keluarga kami untuk awak. Carilah lelaki lain yang boleh
terima awak!”
Fayyadhah menundukkan
kepalanya. Mata bundar miliknya mula terasa perit. Agak lama dia berkeadaan
begitu. Sadiq mengetap bibir menahan sebak apabila esakan Fayyadhah menerjah
pendengarannya.
“Maafkan saya kerana
terlalu emosional. Betul kata awak. Awak tak pernah menabur janji pada saya
tapi saya yang secara sukarela mengutip impian indah yang awak cipta selama
ini. Awak tak salah dan tak patut dipersalahkan. Saya yang silap. Silap menilai
perasaan awak dan silap meletakkan awak dalam hati saya. Terima kasih kerana
hari ini awak menyedarkan semula saya tentang betapa tidak layaknya seorang
wanita seperti saya untuk berdampingan dengan lelaki seperti awak. Terima kasih
banyak-banyak.”
Fayyadhah lekas bangkit
setelah kerusi ditolak ke belakang. Dia bergerak menjauhi lelaki itu. Agak laju
langkahnya dihayun. Dia ingin keluar dari kawasan kampus ini dan segera sampai
ke rumah sewanya. Baginya segalanya sudah jelas. Tiada apa-apa lagi yang perlu
dijelaskan. Dia bukan yang terbaik untuk Sadiq. Dia cuba mengukir senyuman
walau hakikatnya amat menyakitkan. Senyuman kekuatan yang diiringi air mata
kekecewaan.
Sadiq mula berdiri
untuk mengejar Fayyadhah, tetapi membatalkan niat itu tatkala matanya tertancap
pada sekumpulan pelajar yang sedang memerhatikannya. Bukan dirinya untuk
mencari publisiti murahan dengan menjaja kisah hati dan perasaan pada orang
ramai. Dia yakin sekiranya dia meneruskan hasrat untuk mengejar Fayyadhah
sambil melaung memanggil gadis itu, pasti adegan tersebut akan dijaja dari
mulut ke mulut oleh para pelajar yang berada di kafe tersebut. Natijahnya,
pasti dia dan Fayyadhah akan terpalit dengan rasa malu yang tidak terhingga.
******************************************************************************
Fail-fail pelajar
disusun satu-satu secara menegak di dalam almari kayu itu. Fail yang menyimpan
rekod prestasi pelajar amat penting dan perlu dijaga rapi. Setiap hari pasti
akan ada ibu bapa atau penjaga yang menanyakan tentang anak mereka semasa
mengambil anak tersebut dari sekolah ini. Pusat untuk kanak-kanak cacat ini
lebih berkonsepkan sekolah dan bukannya pusat jagaan seperti tanggapan
kebanyakan ibu bapa. Sedang tangannya menyusun atur fail-fail itu, Imtiyaz
tersentak bila pinggangnya dicuit secara tiba-tiba.
“Ala, tak geli rupanya.
Kita ingat nak terperanjatkan dia sampai melatah. Rancangan gagal!”
Ujar Lauzah sambil
membetulkan kerongsang tudungnya yang hampir-hampir terjatuh setelah ketapan
pin tersebut terbuka.
“Bab nak terperanjatkan
tu memang berjaya, tapi tang nak tengok saya melatah tu memang tak lah! Untuk
pengetahuan puan, saya merupakan seorang Perempuan Melayu Terakhir yang tidak
melatah. Saya merupakan warganegara Malaysia yang patuh pada prinsip kelima
Rukun Negara iaitu kesopanan dan kesusilaan. Sopan tak kak Im?”
Sambut Imtiyaz sambil
meliuk-lentukkan kedua-dua tangan seperti penari inang pula lagaknya.
“Huh! Berbulu mata
aku.”
“Isy, apa selama ini
puan tidak mempunyai bulu mata?”
Sengaja Imtiyaz
bersikap loyar buruk dengan teman serumahnya itu. Dia mahu ‘membakar’ hati Lauzah.
“Itu bulu mata, memang
sejak azali dah ada tapi ini berbulu je mata aku tengok perangai kau. Ada
faham? Kalau tak faham meh aku lekatkan bulu ayam ni kat mata kau. Baru betul
namanya berbulu. Berbulu ayam. Amacam, nak cuba?”
Rakannya itu menggertak
sambil menggoyang-goyangkan pembersih bulu ayam yang memang sedia ada di kelas
itu di depan mata Imtiyaz.
“Ampunkan patik
penunggu gua. Ampunkan patik penunggu gua. Janganlah diri ini disakiti.
Sesungguhnya, patik pacar yang hina hanya bergurau senda di waktu senja nan
merah ini. Patik mohon diampuni.”
“Woi! Sudah la tu. Kau ni makin melalut-lalut tak
putus kalimah ni kenapa? Aku nak lekas. Malam ni kena ganti staf sakit. Keracunan
makanan katanya.”
Mereka sudah pun memasuki
kereta setelah Imtiyaz mengunci pagar sekolah itu. Dia memang diamanahkan untuk
memegang kunci sekolah kerana dia yang paling awal sampai ke sekolah dan paling
lambat pulang ke rumah. Imtiyaz menumpang kereta Lauzah untuk ke tempat kerja
setiap hari kerana laluan ke sekolah ini dan tempat kerja rakannya itu adalah sama.
Setelah hampir lima minit, perjalanan mereka terhenti di simpang empat itu
kerana nyalaan merah lampu isyarat. Nombor 199 yang terpampang di skrin
elektronik itu melelahkan mereka. Jenuh hendak menunggu giliran kereta
bergerak.
“Eh, hari ni hari Khamis,
30 April kan?”
“Ye, kenapa tiba-tiba
kau tanya? Hadif nak datang sini ke? Aku okey je kalau tinggal seorang hujung
minggu ni. Kau mesti nak luangkan masa dengan suami tercinta kan. Almaklumlah,
PJJ. Perkahwinan Jarak Jauh. Sebulan sekali baru berjumpa, ye tak? Hehe.”
“Isy, bukan la. Hadif
pergi Dubai dua minggu. Nak bincang pasal projek baru katanya. Entahlah, aku
bukannya faham pasal dunia orang minyak ni. Aku tanya pasal tarikh tadi sebab aku
teringatkan Kak Awa.”
“Kenapa dengan Kak
Awa?”
“Hari tu dia ada jemput
datang makan kenduri di kampung dia. Kenduri kahwin adik dia. Hari Sabtu 2 Mei.
Ini sebelah lelaki. Sebelah perempuan dah buat minggu lepas di Perak. Kita
pergi ye. Lagipun esok cuti umum. Jadi tak ada masalah la kalau kita nak ke
sana. Sempat rehat-rehatkan badan dan kemas apa yang patut sebelum berjalan
jauh ke selatan. Boleh juga
tengok-tengok negeri orang.”
“Kau saja la yang
pergi. Aku segan la. Aku kenal nama Kak Awa saja, orangnya aku tak pernah jumpa
pun. Kau lain la, adik angkat dia merangkap saudara tidak sedarah sedaging.”
“Sampainya hati kau nak
biarkan aku bawa kereta seorang-seorang dari utara sampai selatan. Kalau aku
mengantuk, siapa nak segarkan biji mata aku ni? Kalau kau ada, boleh juga
tolong suakan gula-gula ke, hulurkan air atau suapkan roti kat mulut aku ni
supaya biar celik semula mata kuyu aku. Boleh juga jadi teman berbual. Lagipun
apa yang kau nak segankan? Bukannya Kak Awa tak kenal kau. Aku selalu cerita
pasal kau pada Kak Awa sampai dia pernah cakap yang kalau kau jalan depan dia,
mesti dia boleh cam kau. Masa dia jemput aku, dia memang ada sebut nama kau
sekali. Cuma dalam kad yang dia bagi aku tu tak tertulis nama kau sebab dia
tulis ‘Lauzah dan pasangan’. Memandangkan Hadif tak ada, jadi engkau lah jadi
pasangan aku. Lupakan itu semua kerana
isunya di sini adalah kau telah dijemput. Jadi kau kena pergi. Tiada bantahan
dan alasan. Keputusan muktamad!”
“Okey, okey, aku pergi.
Puas hati?”
“Macam ni la baru kawan.”
******************************************************************************
Cuaca waktu ini agak
bahang dengan matahari tegak di atas kepala. Dari dalam kereta yang dilengkapi
penghawa dingin pun sudah terasa kepanasannya apatah lagi bila jasad sudah
berada di luar kereta sebegini. Deretan kereta yang memarkir di kiri dan kanan
bahu jalan amat menyesakkan kepala. Tambahan pula dengan puluhan lagi kenderaan
beroda empat itu yang masih berlegar-legar di kawasan itu untuk mencari tempat
parkir. Pasukan RELA yang bertugas begitu gigih mengarah selia kenderaan keluar
masuk bagi memastikan kelancaran trafik. Lauzah membetul-betulkan pakaiannya
agar nampak kemas. Berbelas jam menempuh perjalanan jauh dengan terpaksa
melayan sahabatnya yang mual-mual sepanjang perjalanan. Pening kepala, muntah
dan sakit perut mengalahkan dirinya yang sedang hamil lima bulan ini.
“Im, dah sampai ni. Jom
turun.”
Kejut Lauzah sejurus
pintu sebelah Imtiyaz dibuka. Imtiyaz yang kelihatan lemah membuka perlahan
kelopak matanya. Gumpalan tisu yang telah kotor dengan sisa-sisa muntahnya
dicampak ke dalam plastik sampah yang sedia tersangkut di gear kereta. Setelah
berpuluh tahun baru hari ini dia tahu yang dirinya alah apabila menaiki
kenderaan tinggi. Selama ini dia hanya pernah menaiki kereta dan basikal
sahaja. Hendak dikatakan terlalu tinggi seperti bas atau lori, tidak pula.
Sekadar tinggi sedikit daripada kereta biasa. Jika dia tahu begini jadinya,
tidak mungkin dia akan membenarkan Lauzah memandu MPV itu dan bukannya kereta
yang biasa mereka naiki.
“Kau okey tak? Kalau
tak okey, kita pergi check in homestay
dulu. Kau rehat kat sana, biar aku seorang saja yang datang sini semula. Okey?”
“Eh, jangan. Kita dah
sampai. Buang minyak je kalau patah-patah balik macam tu. Aku okey. Biasalah
baru bangun tidur, memang nampak mamai sikit. Aku pun teringin juga nak makan
nasi minyak. Nak tunggu nasi minyak sendiri, entah bila agaknya. Dah, jom kita
bergerak ke pit stop. Imtiyaz and Lauzahah, you are team number one!”
“The Amazing Race, Don’t Dream High If You Allergic With High Vehicles Season!”
Berderai tawa kedua-dua
wanita ini.
“Alamak, aku ada
masalah besar ni.”
Adu Imtiyaz setelah
reda daripada keriangan sebentar tadi. Dia kini sedang menggagau tangannya
mencari sesuatu di dalam tas tangan.
“Apa yang kau cari?”
“Cermin mata.
Rasa-rasanya aku tertinggal di rumah kita. Aku ada satu cermin mata tapi ada
dua bekas cermin mata yang sama. Cermin mata yang satu lagi tu dah rosak. Dah
senget sebelah. Aku terpijak sebab tak perasan. Aku salah bawa bekas cermin
mata. Tengok ni, kosong.”
Segera bekas cermin
mata itu dibukanya bagi menunjukkan ketiadaan isinya. Dengan power cermin mata setinggi 1000 di
kedua-dua belah mata amat menyukarkan pergerakan Imtiyaz sekiranya terpaksa
berjalan tanpa alat optik tersebut. Penglihatannya menjadi amat terbatas.
Semasa dalam perjalanan tadi, dia menggunakan kanta lekap yang kemudiannya
telah dikeluarkan sebelum melelapkan mata. Entah di mana silapnya, bekas
menyimpan kanta lekap itu boleh terbuka lalu jatuh di atas alas kaki kereta
yang agak berdebu. Sudahnya, terpaksalah dia mengucapkan selamat tinggal kepada
kanta lekap yang baru dibelinya minggu lepas.
“Jadi sekarang ni
maknanya kau tak ada cermin mata nak dipakai la ye?”
“Hmm.”
“Jangan risau. Kau ikut
je aku. Kalau takut jatuh, jangan segan silu nak berpaut pada lengan akak ye. Akak
rela dipauti!”
Sengaja Lauzah menyakat
kawannya itu.
“Apa nama
pengantinnya?”
“Ain Insyirah binti
Ngadiman!”
“Amboi! Siap hafal nama
ayah orang. Hebat. Tapi, adik Kak Awa lelaki kan? Apa namanya?”
“Minta maaf sebab aku
tak suka nak menghafal nama suami orang! Nama suami aku saja yang bertakhta di
hati dan minda.”
“Eeh, ke situ pula kau.
Aku tanya sebab dalam kad undangan mesti ada tulis nama pengantin. Lagipun tadi bukan main lagi kau
menghafal nama pengantin perempuan, tak kan nama pengantin lelakinya kau tak
ingat langsung. Kalau aku ni memang logik la kalau tak ingat sebab kad kahwinnya
pun aku tak baca. Bukan kata nak ingat, memang langsung tak tahu!”
“Membebel je la kau ni.
Menipu namanya kalau aku cakap aku tak ingat langsung. Nama pengantin lelaki
tu…Sadiq…Sadiq A…a…entahlah Sadiq apa agaknya aku tak pasti. Kalau kau beria
sangat nak tahu, nanti kau tanya Kak Awa sendiri.”
‘Sadiq A? Ini majlis
kahwin dia ke? Ya Allah, tabahkan hatiku.’
Doa Imtiyaz di dalam
hati.
Sebaik sahaja memasuki
perkarangan rumah, Lauzah pantas menarik Imtiyaz mendekati kakak angkatnya yang
sedang sibuk melayan tetamu di bawah khemah. Kawasan rumah yang luas itu telah
menempatkan kira-kira 10 buah khemah biasa, dua buah khemah yang agak cantik
hiasannya dan sebuah lagi khemah pengantin yang tersangat indah dipandang mata.
“Assalamualaikum Kak
Awa. Tahniah sebab dah dapat adik ipar baru. Kak, ini la Imtiyaz yang selalu Lauzah
ceritakan tu.”
Wanita berbaju kurung
hijau pucuk pisang itu pantas bersalaman dengan Imtiyaz sambil tersenyum manis
setelah menjawab salam Lauzah.
“Jemputlah makan ye.
Maaf akak tak dapat nak layan kamu makan sekali. Sibuk melayan tetamu. Sekejap
lagi ada tetamu khas nak datang.”
“Maaf tanya kak. Akak
ada jemput VIP ke? Bukan apa, saya nampak ada dua buah khemah yang lebih cantik
berbanding dengan khemah-khemah lain. Tertarik menarik nampaknya.”
Lauzah bertanya dalam
nada berseloroh.
“Pandai kamu bergurau.
Memang khemah untuk VIP pun. Orang-orang yang penting dalam usaha memanusiakan kami
adik-beradik.VIP itu ialah cikgu-cikgu yang pernah mengajar kami semua. Dari
tadika hingga ke sekolah menengah termasuk ustaz dan ustazah yang mengajar kami
membaca Al-Quran. Along cakap, walaupun dia tiada rezeki untuk belajar di
universiti tapi kerana ilmu dan nasihat yang selalu diberikan oleh guru-guru
semasa zaman persekolahannya telah menjadikan dia seorang yang matang untuk
melayari kehidupan ini sebagai ibu dan bapa kepada adik-adiknya. Along mendidik
kami supaya sentiasa mengingati jasa guru dan mendoakan kesejahteraan mereka di
dunia dan akhirat.”
‘Indahnya akhlak Along.
Adakah dia merupakan orang yang sama memaksa Sadiq untuk meninggalkan aku?
Mungkin orang lain agaknya.’
Imtiyaz seakan tidak
percaya.
“Khemah yang sebelah itu
pun untuk VIP juga?”
Lauzah terus menyoal.
“Khemah itu bukan untuk
VIP tapi VVIP. Insan-insan yang sangat penting dalam hidup kami adik-beradik.
Sejak kami kecil, Along akak selalu bawa kami ke Rumah Orang-Orang Tua dan
semaikan rasa kasih sayang serta belas ihsan terhadap penghuni di situ. Along
kata, walaupun ibu bapa kami sudah tiada di dunia ini, tetapi kami masih mampu
mencurahkan bakti kepada ibu dan ayah di situ. Mereka merupakan ibu bapa kami
semua. Eh, banyak pula celoteh akak ni. Orang datang kenduri sepatutnya dapat
makan, tapi kamu dapat dengar akak membebel pula. Sudah la tu, mari cepat kita
ke meja cari tempat duduk. Kamu berdua sila makan ye. Akak ada urusan yang
hendak diselesaikan.”
******************************************************************************
‘Apa ni?’
Soal hatinya tatkala
terpijak sesuatu.
“Ya Allah, memang betul
sangkaan aku. Dia yang kahwin rupanya. Hebat permainan awak, Sadiq Aswad!”
Ucap bibirnya sambil
menggenggam erat kad undangan perkahwinan yang terjatuh di lantai ruang tamu
rumah itu. Dia sedang menunggu Lauzah yang masih berada di tandas. Jelas tertera
nama Sadiq dan Insyirah beserta dengan gambar kedua-dua mempelai di muka
hadapan kad tersebut. Tidak sanggup rasanya untuk membelek isi kandungan kad
berlipat dua itu. Sebak mula menguasai diri. Saat hati mula belajar untuk
melupakan, hatinya kembali diuji.
“Imtiyaz.”
Sapaan Kak Awa
menyedarkannya. Tergugup gagap juga dibuatnya. Sedaya mungkin dia cuba menahan
dirinya daripada menangis.
“Im nak tumpang tandas
boleh?”
“Apa pula tak bolehnya.
Mari ikut akak ke bilik. Bilik air belakang ada jiran gunakan untuk mandikan
anak dia. Budak tu dah buat bom! Meredam baunya.”
Kak Awa tertawa dengan
kata-katanya sendiri.
“Ini bilik akak. Kamu
gunalah bilik air tu. Kalau dah sudah, kamu cuma tolong rapatkan pintu bilik sebab
nak elakkan gas aircond keluar. Okey
la, akak keluar dulu ye.”
Imtiyaz mengunci pintu
bilik air setelah menutupnya rapat. Selang beberapa minit, dia keluar lalu
mengesat tangan pada tuala tangan yang tergantung di dinding sebelah luar bilik
air.
“Angah, Adik nak pinjam
tandas. Tandas luar ada orang. Alamak
ada orang. Maaf cik.”
Suara itu menggegarkan
jantungnya. Suara yang sama. Suara yang amat dikenalinya. Adakah dia… Imtiyaz
yang sedang membelakangkan si empunya suara segera menukar posisi badannya.
Lelaki itu sudah mahu keluar dari bilik tersebut tetapi terhenti tiba-tiba. Dia
sedang memandang Imtiyaz. Mata mereka bertatapan. Lidah pula kelu seribu bahasa.
Pandangan dan hati bergerak senada. Nada terkejut! Imtiyaz terperanjat. Si dia terkedu. Imtiyaz terdiam. Si dia
terpempan.
“Assalamualaikum Fayyadhah
si octopus!”
“Maaf mengganggu. Saya
nak panggil kawan saya, boleh? Dah naik berkematu dan berketuat saya menunggu
dia di luar. Rupa-rupanya ada dalam bilik ini. Nasib baik Kak Awa beritahu. ”
Lauzah yang tiba-tiba
muncul dari sebalik pintu yang terbuka itu menyentakkan kedua-dua mereka. Lelaki
itu menundukkan wajah sambil berlalu keluar dari bilik. Terputus selera hendak
ke bilik air!
“Lauzah, aku dah jumpa
dia semula. Hanya dia seorang saja yang panggil aku Fayyadhah dan bukannya Imtiyaz.
Hanya dia seorang saja yang suka panggil nama yang arwah nenek bagi walaupun
sebenarnya dia tahu nama sebenar aku Imtiyaz. Hanya dia satu-satunya kawan
lelaki aku yang sempat jumpa nenek
sebelum nenek meninggal dunia. Hanya dia yang pernah tengok macam mana aku
uruskan rumah bila dia terpaksa tinggal di rumah nenek selama seminggu sebab
kereta dia rosak. Aku yang curi-curi bawa kereta dia sebab teringin sangat nak
memandu. Lauzah, kau tahu kan apa jadi pada kereta tu? Aku dengan kereta tu
sama-sama terjunam dalam parit berair. Punyalah teruk kereta tu aku kerjakan,
tapi dia sikitpun tak marah aku. Dia kata nyawa aku lagi penting. Dia tak marah
aku walaupun dia terpaksa habiskan cuti semester dia di kampung aku. Dia tak
merungut walaupun terpaksa tunggu lama untuk biarkan mekanik baiki kereta dia
yang aku rosakkan. Dia tolong nenek bagi lembu makan, tolong atuk bersihkan
kebun pisang, tolong kami betulkan pagar kawat rumah dan macam-macam lagi yang
ditolongnya. Dia bagi aku gula-gula FOX’S. Panggil aku octopus. Lauzah, kau tahu semua tu kan? Dia bagi aku harapan
kononnya kakak-kakak dia nak datang meminang aku. Tapi tak berapa lama kemudian
dia putuskan hubungan kami. Katanya aku bukan jodoh dia. Disebabkan rasa hormat
maka dia menolak kehadiran aku dan mengakui yang Along dia membuat keputusan
yang tepat. Keputusan apa? Keputusan membatalkan hasrat menerima aku dalam
keluarga mereka selepas mereka beri harapan yang tinggi kepada aku.”
Lauzah kaget melihat
Imtiyaz yang tanpa henti kembali menyingkap sejarah silam hidupnya.
“Sekarang ni, selepas bertahun-tahun
aku jumpa dia semula. Aku yang terhegeh-hegeh datang majlis kahwin dia dan baru
aku tahu yang Kak Awa tu sebenarnya Angah dia. Kau pernah beritahu aku yang Kak
Awa memang boleh kenal aku walaupun tak pernah jumpa kan? Memang la, sebab dia
pernah tengok gambar aku masa konon-kononnya nak menjadikan aku ni adik ipar
dia. Dulu, masa aku nak tengok gambar kakak-kakak dia, dia tak bagi sebab
katanya nak buat kejutan bila berjumpa nanti. Akhirnya aku yang terkejut. Terkejut
dengan sandiwara mereka sekeluarga. Peliknya, Kak Awa tak terkejut langsung
masa jumpa aku tadi. Apa maknanya tu? Maknanya kehadiran aku ke sini sudah
dirancang dan motifnya adalah untuk menyeksa hati aku. Apa semua ini?”
“Im, sudah la. Aku
kenal Kak Awa. Dia tak mungkin buat semua tu.”
“Kau menangkan dia
sebab ini keluarga kakak angkat kau kan? Kau tak rasa apa yang aku rasa. Cuba
kau fikir, dia pernah beritahu aku yang keluarga dia bukan orang senang.
Tinggal di kawasan setinggan. Ini ke rupa rumah orang tak senang? Macam ini ke
kenduri kahwin keluarga orang tak senang? Aku sedar yang aku ni cacat dan berpenyakit,
tapi aku ada harga diri dan tolong berhenti mempermainkan aku.”
Imtiyaz mengesat hidung
yang turut berair sealir dengan air matanya. Dalam sedu dia menggerakkan tangan
kananya memegang bahu kanan yang tidak bertangan. Dari sebalik baju kurung yang
dipakai, jelas terasa lengan baju itu kosong tidak berisi!
“Baiklah, sekarang
izinkan saya pula memberikan penjelasan.”
Ujar lelaki itu yang
entah bila sudah berada di belakang Imtiyaz dan Lauzah.
“Saya Sadiq Aswad dan
ini abang kembar saya, Sadiq Afifi merangkap sebagai raja sehari pada hari ini.
Ini pula isterinya, Ain Insyirah yang dengan sendirinya telah menjadi kakak
ipar saya. Dalam keluarga, abang saya ini
dipanggil sebagai Sadiq dan nama panggilan saya pula ialah Adik kerana saya
merupakan anak bongsu. ”
Sadiq Afifi tersenyum,
begitu juga dengan isterinya. Fayyadhah masih merenung Sadiq Afifi tanpa
berkelip bagaikan tidak percaya melihatkan kebenaran ini.
“Fayyadhah, jangan
pandang macam tu. Ini suami orang!”
Tegur Sadiq Aswad. Segera
matanya dialihkan ke tempat lain. Malu ditegur sedemikian rupa.
“Memang kami bukan
orang senang dan selama ini kami tinggal
di rumah setinngan tinggalan arwah ummi dan walid. Ummi mengambil upah mengait
alas meja, alas kusyen dan baju bayi. Ummi juga ambil tempahan menyulam sarung
bantal dan cadar. Ummi tak jual kuih-muih atau nasi lemak sebab di kawasan
tempat tinggal kami sudah ada dua buah keluarga yang bergantung hidup dengan
hasil jualan kuih-muih dan nasi lemak. Jadi ummi tak mahu kacau periuk nasi orang lain sebab ummi
selalu pesan, kalau kita nak periuk nasi kita dipenuhi nasi, sama juga dengan
orang lain. Jangan sesekali cuba menabur pasir dalam periuk nasi orang. Kalau
kita tahu erti lapar, orang lain pun faham makna lapar. Kalau kita suap nasi ke
mulut untuk hilangkan rasa lapar, takkan kita sanggup tengok orang lain suap pasir
dalam mulut mereka? Setiap orang ada rezeki masing-masing dan ianya memang
pasti. Perkara utama yang kita perlu buat adalah berusaha dan bertawakal.”
Sadiq Afifi dan Ain
Insyirah segera keluar dari bilik itu bila terlihat pesanan ringkas yang baru
dihantar oleh jurufoto meminta agar mereka bersedia untuk penggambaran luar. Kedudukan
bilik ini agak tersorok dan berada di tingkat paling bawah. Banglo empat
tingkat ini menempatkan bilik ini, bilik bacaan dan bilik stor di tingkat yang
sama.
“Walid tiada saudara
mara di Malaysia. Walid berasal dari tanah seberang. Atuk menikahkan walid dan
ummi kerana terpikat dengan budi pekerti walid. Satu-satunya adik ummi, Pak Ucu
telah menghalau ummi dan walid keluar dari rumah nenek dan atuk selepas nenek
dan atuk meninggal dunia di Mekah semasa mengerjakan fardhu haji. Pak Ucu
memang tidak sukakan walid yang dianggapnya sebagai orang asing yang tidak
tentu keturunan. Ummi dan walid berpindah ke Kuala Lumpur kerana mengikut kawan
walid yang ingin bekerja di sana. Walid dan kawannya akhirnya diterima bekerja
sebagai buruh binaan. Selepas berpuluh tahun, Pak Ucu datang ke rumah dan minta
agar kami memaafkan segala kesalahannya. Pak Ucu tidak dikurniakan anak dan
isterinya telah lama meninggal. Sebelum meninggal dunia, Pak Ucu telah
mewasiatkan segala harta termasuk kilang minyak kelapa sawitnya agar diserahkan
kepada kami empat beradik. Urusan pentadbiran akan tetap berjalan seperti
biasa. Pak Ucu juga minta agar kami mengunakan
rumah ini untuk segala majlis dan kenduri-kendara. Disebabkan itu kenduri
kahwin abang Sadiq dibuat di sini.”
Kini, emosi Fayyadhah
sudah semakin stabil berbanding tadi. Dia memberanikan diri bertanyakan
sesuatu.
“Betul ke kerana saya
ialah pembawa talasemia, awak ambil keputusan untuk memutuskan hubungan kita?
Tambahan pula tangan saya kudung sebelah. ”
“Fayyadhah, saya juga
merupakan pembawa talasemia! Saya telah disahkan sebagai pembawa talasemia
selepas melakukan ujian darah seperti yang disarankan oleh Along. Along
inginkan kepastian sama ada saya juga mempunyai penyakit talasemia seperti
walid dan ummi. Along, Angah dan abang Sadiq bebas talasemia. Kaunselor
klinikal memberitahu saya tentang risiko yang perlu dihadapi sekiranya saya
berkahwin dengan pembawa talasemia juga. Saya yakin awak tentu tahu. Saya tak
mahu melihat awak menderita.”
“Jadi, awak berbohong
tentang Along dan Angah awak?”
“Saya terpaksa untuk
membuatkan awak semakin benci kepada kami sekeluarga dan tinggalkan saya. Mereka
langsung tak mengetahui tentang pembohongan saya terhadap awak. Saya cuma
katakan yang kita berpisah secara baik. Mereka juga tak pernah lihat gambar
awak sebab saya nekad buang gambar awak bila dapat tahu tentang penyakit saya. Fayyadhah,
saya mohon maaf di atas segala-galanya. Saya ikhlas dengan perasaan saya tetapi
sedar yang ianya amat jauh untuk direalisasikan.”
“Ikhlas tapi jauh.”
Fayyadhah membuat
rumusan pada pengakuan Sadiq Aswad itu. Lelaki yang segak dengan baju melayu
cekak musang itu mengangguk lemah.
“Saya nak tanya, awak
nak anak tak? Maksud saya, bila dah berkahwin nanti adakah anak merupakan isu
besar kepada awak?”
Tiba-tiba sahaja Lauzah
bertanyakan soalan itu kepada Sadiq Aswad yang baru ingin melangkah keluar dari
bilik itu.
“Anak? Logiknya kalau
sudah berkahwin pastinya saya juga mengidamkan untuk memiliki zuriat sendiri.
Tapi andai sudah ditakdirkan saya tiada rezeki untuk punya anak sendiri, rasanya
saya masih boleh ikhtiarkan untuk mendaoatkan anak angkat. Kenapa awak tanya?”
Lauzah terus
membisikkan sesuatu kepada Fayyadhah.
“Beritahulah dia.”
Fayyadhah diam seketika
sebelum mengangguk perlahan.
“Hari awak putuskan
hubungan kita adalah hari yang bersejarah dalam hidup saya. Saya terlibat dalam
kemalangan semasa dalam perjalanan pulang ke rumah. Tiada apa yang serius
berlaku kepada saya tetapi Lauzah yang terlalu bimbangkan keaadaan kesihatan
saya. Dia minta agar doktor melakukan pemeriksaan penuh terhadap saya bagi
memastikan saya benar-benar bebas kecederaan serius sama ada luaran atau dalaman.
Doktor yang merawat saya ialah kakak ipar Lauzah. Jadi, segala-galanya menjadi
lebih mudah."
“Kemudian?”
Segera soalan diajukan. Sadiq ingin terus
mendengar. Namun, Fayyadhah diam membisu dan membatukan diri. Fayyadhah
tertunduk malu. Malu untuk menyatakan kebenaran tersebut.
“Dia tak mungkin boleh
mengandung.”
Tutur Lauzah perlahan.
Fayyadhah tetap menundukkkan wajah bagai cuba lari dari pandangan Sadiq Aswad. Lelaki
itu kelihatan tenang. Langsung tidak beriak walau sedikit.
“Imtiyaz disahkan
sebagai seorang perempuan yang dilahirkan tanpa rahim. Dia memang seorang
wanita yang penuh dengan ciri-ciri dan sifat-sifat kewanitaan, cuma tidak
dianugerahkan organ ini. Kes yang amat jarang berlaku tetapi ianya wujud dan Imtiyaz
merupakan salah seorang wanita istimewa tersebut. Walau apa pun, saya nak awak
tahu yang perkara ni sedikit pun tidak memberi kesan pada saya sebagai kawan baiknya.
Dia masih Imtiyaz yang saya kenal dulu dan saya yakin bahawa Allah tidak
menjadikan sesuatu dengan sia-sia. Setiap perkara pasti ada hikmah
disebaliknya.”
Lauzah lega kerana
telah menyampaikan hakikat itu. Hatinya puas setelah dapat melihat rupa sebenar
lelaki yang pernah mempermainkan perasaan rakan baiknya sehingga menyebabkan
Imtiyaz hampir hilang semangat untuk meneruskan hidup. Lelaki yang ingin
ditengkingnya, di herdiknya dan dihamburkan amarahnya yang telah lama
terpendam. Namun, setelah bertemu dengan Sadiq Aswad, hatinya yang panas
menjadi sejuk melihatkan tingkah dan tutur lelaki ini.
Untuk seketika, hanya
bunyi penghawa dingin sahaja yang melegari ruang bilik itu. Tiada suara mahupun
keluhan.
“Fayyadhah, Allah
mentakdirkan awak dilahirkan tanpa rahim. Allah mentakdirkan saya dan awak mempunyai
talasemia. Allah mentakdirkan kita berdua bertemu dan berpisah. Kini, kerana
takdir-Nya maka kita bertemu semula dalam keadaan yang tidak dijangka. Setiap
kejadian pasti ada hikmah. Fayyadhah, setelah beberapa kali solat istikharah
saya lakukan meminta petunjuk Yang Maha Esa sama ada saya harus meneruskan niat
untuk meminang awak atau membatalkan hasrat tersebut kerana penyakit ini,
sejujurnya saya katakan yang hati saya sentiasa cenderung kepada awak. Saya
yakin itu jawapannya, tapi saya tetap menafikannya dan terus bertindak membuang
awak dari hidup saya walau hakikatnya saya masih gagal mengusir bayangan awak
dari hati saya sejak pertemuan terakhir itu. Maaf jika kata-kata saya keterlaluan,
tapi saya yakin bahawa kita bertemu hari ini bukan untuk berpisah tetapi untuk
bersatu dalam redha Ilahi dan restu keluarga.”
Wajah polosnya yang
lencun dengan air mata dialih perlahan mengadap Sadiq Aswad.
“Awak sanggup terima
kekurangan saya?”
“Bukan kekurangan
tetapi jalan keluar untuk membolehkan saya menurut apa yang Allah cenderungkan
kepada hati saya selama ini. Itu merupakan satu keistimewaan kurniaan dari
Allah. Saya tidak mahu terus membohongi diri saya. Saya, Sadiq Aswad ikhlas
dengan awak, Fayyadhah.”
“Ikhlas tapi jauh!”
Ketiga-tiga mereka
dikejutkan dengan suara-suara itu. Setelah terlihatkan Sufi dan Salwa yang baru memasuki bilik yang tidak
ditutup rapat itu, Fayyadhah mula rasa gementar lebih-lebih lagi bila dirinya
didekati oleh Sufi.
“Kami dah dengar
segala-galanya. Fayyadhah, Along dan seluruh ahli keluarga mengalu-alukan
kehadiran kamu dalam keluarga ini. Kita sambung apa yang terputus dahulu.”
Salwa yang berdiri
paling dekat dengan Sadiq Aswad menepuk perlahan bahu jejaka itu sambil
mengusiknya.
“Dulu ikhlas tapi jauh.
Sekarang ikhlas dan dah dekat sangat!”
“Apa yang dah dekat
tu?”
Sampuk Lauzah pula.
“Dah dekat tarikh
nikahnya!”
Kesemua mereka menahan
ketawa kerana takut didengari oleh beberapa orang tetamu yang berada di tingkat
atas. Sadiq Aswad dan Fayyadhah tersenyum bahagia.
‘Kita merancang dengan
cita-cita tetapi Allah mengaturnya dengan cinta. Terima kasih Ya Allah.’
Dalam senyum, Sadiq
Aswad berbisik sendiri.